Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

RINGGIT meningkat berbanding penurunan semalam untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kebimbangan baharu terhadap perkembangan ekonomi yang mengubah minat pelabur terhadap mata wang sedang pesat membangun termasuk ringgit, kata penganalisis.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.5515/5565 berbanding dolar AS daripada 4.5535/5570 sewaktu ditutup pada Khamis.

Seorang peniaga berkata dolar AS menyusut daripada paras tertinggi dalam tempoh sebulan berikutan pelabur meneliti data ekonomi AS yang sebahagian besarnya memaparkan pasaran buruh yang berdaya tahan dan menunggu laporan senarai gaji bukan ladang, lewat hari ini.

Beliau berkata sektor perkhidmatan AS tidak memberangsangkan pada Julai, namun, perniagaan berdepan harga yang lebih tinggi bagi input berikutan permintaan yang terus tertangguh, menggambarkan laluan yang panjang dan perlahan kepada inflasi.

Sementara itu, beliau berkata pesanan bagi barangan buatan AS meningkat pada Jun, didorong oleh permintaan yang kukuh terhadap peralatan pengangkutan dan barangan lain walaupun kadar faedah lebih tinggi.

Ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang itu merosot berbanding yen Jepun kepada 3.1898/1935 daripada 3.1849/1876 semalam, rendah berbanding euro kepada 4.9816/9871 daripada 4.9774/9813 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.7836/7899 daripada 5.7679/7724 sebelumnya.

Pada masa sama, unit tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang Asean lain.

Ringgit menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.3891/3933 daripada 3.3923/3952 sewaktu ditutup pada Khamis dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.16/8.17 daripada 8.20/8.21 sebelum ini.

Mata wang tempatan menyusut berbanding rupiah Indonesia kepada 299.9/300.5 daripada 299.7/300.2 pada Khamis, namun naik berbanding baht Thailand kepada 13.0835/1043 daripada 13.1403/1565 sebelum ini. – Bernama

Sumber