Ringgit ditutup rendah – Sinar Harian

Ringgit ditutup rendah – Sinar Harian

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini susulan permintaan lemah terhadap mata wang tempatan disebabkan kebimbangan terhadap prospek ekonomi global yang suram.

Pada jam 6 petang, unit tempatan turun kepada 4.6720/6765 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6615/6655 pada Selasa.

Ketua ahli ekonomi dan ketua kewangan sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kerajaan Jepun juga melahirkan kebimbangannya terhadap kekukuhan dolar AS ketika negara itu sedang dalam usaha menangani penurunan yen.

Menurut laporan, yen Jepun turun ke paras terendahnya dalam tempoh 10 bulan berbanding dolar, menjadikan para peniaga memantau rapat kemungkinan lebih banyak intervensi daripada kerajaan Jepun.

“Bank pusat Amerika Syarikat (AS) dijangka mengekalkan pendirian monetari ketat mereka, yang seterusnya memberikan sokongan terhadap dolar AS.

“Ia (bank pusat AS) memberikan isyarat yang berbeza-beza berhubung kadar faedah. Tetapi apa yang pasti adalah Rizab Persekutuan AS dijangka mengekalkan pendirian menaikkan kadar faedahnya susulan keadaan pasaran buruh negara itu yang berdaya tahan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding euro kepada 5.0145/0193 daripada paras penutup 5.0088/0131 pada Selasa, turun berbanding pound Britain kepada 5.8657/8713 daripada 5.8534/8585 dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.1694/1727 daripada 3.1670/1699 sebelumnya.

Pada masa yang sama, ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang negara-negara Asean lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4308/4343 daripada paras penutup 3.4238/4272 pada Selasa dan jatuh berbanding baht Thailand kepada 13.1532/1710 daripada 13.1388/1567.

Unit tempatan juga susut berbanding rupiah Indonesia kepada 305.5/305.8 daripada 305.2/305.6 dan rendah sedikit berbanding peso Filipina kepada 8.20/8.21 daripada 8.19/8.21 sebelumnya. – Bernama

— BERNAMA

TAG: Ringgit, dolar AS, tutup, yen Jepun, Mohd Afzanizam

Sumber