Ringgit ditutup rendah – Sinar Harian

Ringgit ditutup rendah – Sinar Harian

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan tekanan daripada perkembangan luaran pada hari dagangan terakhir minggu ini.

Unit tempatan ditutup lebih rendah walaupun perkembangan domestik yang menggalakkan seperti Indeks Harga Pengguna semakin rendah dan kadar inflasi menurun selepas mencatatkan 4.7 peratus pada Ogos tahun lepas.

Pada jam 6 petang, unit ringgit ditutup pada 4.6760/6805 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6525/6580 pada Khamis.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit terjejas teruk oleh perkembangan luaran khususnya kenaikan kadar bank yang tidak dijangka oleh Bank of England sebanyak 50 mata asas bersama-sama dengan langkah menaikkan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.

“IHP Malaysia turun lebih rendah daripada jangkaan kepada 2.8 peratus pada Mei dan kadar inflasi telah bertambah baik.

“Secara logik, kenaikan 125 mata asas Kadar Dasar Semalaman (OPR) sejak Mac tahun lepas telah mula memberi kesan kepada inflasi,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, ketika ini kadar faedah sebenar bagi Malaysia telah bertukar positif pada 0.20 peratus, justeru tiada keperluan mendesak untuk Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan semula OPR dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Pada penutupan, unit tempatan naik berbanding pound Britain kepada 5.9469/9527 daripada 5.9496/9567 ketika ditutup pada Khamis dan melonjak berbanding euro kepada 5.0781/0830 daripada 5.1182/1243 pada Khamis.

Bagaimanapun, unit tempatan menguncup berbanding mata wang negara-negara Asean lain kecuali dolar Singapura.

Nilai ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4568/4604 daripada 3.4697/4740 sebelumnya, ia merosot berbanding baht Thai kepada 13.2765/2950 daripada 13.2720/2934 semalam, berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 311.7/312.2 daripada 311.3/311.9 dan menguncup berbanding peso Filipina kepada 8.38/8.40 daripada 8.36/8.38 semalam. – Bernama

Sumber