Ringgit ditutup rendah berikutan faktor luaran

Ringgit ditutup rendah berikutan faktor luaran

KUALA LUMPUR – Ringgit ditutup lebih rendah dengan mencapai paras 4.30 berbanding dolar AS pada Jumaat, paras yang kali terakhir dicatatkan pada Jun 2020.

Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.3230/3270 berbanding dolar AS daripada 4.2875/2910 sewaktu ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Rizab Persekutuan Amerika Syarikat menjadi faktor biasa yang menyebabkan turun naik yang keterlaluan kerana ia berhasrat menjalankan kempen kenaikan kadar faedah yang lebih agresif pada awal Mei.

“Di pasaran ekuiti, kita turut menyaksikan beberapa aktiviti penjualan asing, menunjukkan ringgit yang lebih rendah turut disebabkan oleh penjualan asing,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit turut diniagakan lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1633/1667 daripada 3.1496/1524 pada Khamis dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.3652/3686 daripada 3.3478/3508 sebelum ini.

Mata wang tempatan naik berbanding pound Britain kepada 5.5641/5693 daripada 5.6003/6049 pada Khamis dan tinggi berbanding euro kepada 4.6710/6753 daripada 4.6794/6832. – Bernama



Sumber