Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS, melepasi paras 4.4

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS, melepasi paras 4.4

KUALA LUMPUR – Ringgit melepasi paras RM4.40 berbanding dolar AS pada penutup dagangan seminggu berikutan pelabur memilih aset selamat termasuk dolar AS di tengah-tengah isyarat oleh Bank Pusat Eropah (ECB) untuk menaikkan kadar faedah bulan depan, kata seorang penganalisis.

Keputusan ECB untuk menaikkan kadar faedah, iaitu yang pertama sejak 2011, adalah bagi menangani pertumbuhan ekonomi yang perlahan dalam blok ekonomi Eropah serta untuk meredakan inflasi yang melambung tinggi, tambahnya.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan itu susut kepada 4.4000/4030 berbanding dolar AS 4.3920/3940 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, keputusan ECB pada Khamis itu memberikan lebih banyak sokongan kepada dolar AS dan harga indeks pengguna Amerika Syarikat (AS) bagi Mei juga dijangka kekal meningkat pada sekitar 8.3 peratus berdasarkan anggaran konsensus.

“Justeru itu, dolar AS akan kekal kukuh kerana Fed dijangka meneruskan kecenderungan mengetatkan dasar monetari yang agresif minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama yang lain.

Unit tempatan itu naik berbanding pound Britain kepada 5.4784/4822 daripada 5.4992/5017 ketika ditutup pada Khamis dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1856/1880 daripada 3.1939/1956 pada Khamis.

Ia menokok berbanding yen Jepun kepada 3.2870/2895 daripada 3.2896/2914 dan naik berbanding euro kepada 4.6618/6650 daripada 4.7060/7082. – Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber