Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Selasa, sejajar dengan kebanyakan mata wang negara serantau. - Gambar hiasan

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Selasa, sejajar dengan kebanyakan mata wang negara serantau. – Gambar hiasan

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, sejajar dengan kebanyakan mata wang negara serantau.

Dolar AS meningkat susulan ketidakpastian mengenai keputusan Rizab Persekutuan AS yang berkaitan dengan kadar inflasi.

Selain itu, data inflasi AS yang akan dikeluarkan minggu ini juga menyumbang kepada kenaikan dolar.

Penganalisis berkata, mata wang kalangan negara Asia juga dipengaruhi oleh sentimen yang dibawa angka perdagangan China yang tidak memberangsangkan.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.5815/5845 berbanding dolar AS daripada 4.5575/5625 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, prestasi perdagangan China terus merosot dengan jumlah eksport dan import kekal turun masing-masing kepada 14.5 peratus dan 12.4 peratus pada Julai (Jun: -12.4 peratus; -6.8 peratus).

“Ini menunjukkan ekonomi kedua terbesar dunia itu menghadapi prospek yang mencabar tahun ini. Akibatnya, yuan lemah berbanding dolar AS sebanyak 0.018 peratus kepada 7.2111 yuan.

“Berikutan itu, dasar monetari China berkemungkinan kekal akomodatif untuk memberikan sokongan kepada keseluruhan ekonomi. Memandangkan hubung kait yang rapat antara yuan dan ringgit pada 68 peratus, ringgit juga lemah,” katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit domestik turun berbanding yen Jepun kepada 3.2027/2050 daripada 3.2018/2056 pada Isnin dan rendah berbanding euro kepada 5.0264/0297 daripada 4.9978/0032.

Ringgit juga lemah berbanding pound British kepada 5.8332/8370 daripada 5.7971/8035 pada penutupan Isnin.

Pada masa sama, unit tempatan didagangkan rendah berbanding mata wang negara Asean yang lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4030/4055 daripada 3.3968/4008 ketika ditutup pada Isnin, dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 301.0/301.3 daripada 300.0/300.6.

Mata wang domestik juga lemah berbanding peso Filipina kepada 8.14/8.15 daripada 8.13/8.14, dan susut berbanding baht Thailand kepada 13.1050/1184 daripada 13.0801/0997. – Bernama

Sumber