Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat dipengaruhi oleh pengukuhan dolar AS berikutan data makro yang lebih memberangsangkan dari AS dan minat baharu terhadap mata wang selamat, kata penganalisis.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.5535/5565 berbanding dolar AS daripada 4.5215/5260 pada Khamis.

Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, ringgit terkesan disebabkan data makro AS yang teguh, yang menguatkan mata wang negara maju itu secara menyeluruh dan keadaan ini dijangka memberikan impak berterusan untuk sementara waktu walaupun optimis dengan rangsangan China.

“Bagaimanapun, pertumbuhan kukuh AS dan dasar yang stabil Rizab Persekutuan tidak menyokong keyakinan tukaran mata wang asing Asia,” katanya.

Menurut laporan berita, keluaran dalam negara kasar AS meningkat pada kadar tahunan 2.4 peratus pada suku kedua tahun ini, lebih cepat daripada jangkaan.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Bank of Japan (BOJ) memutuskan untuk lebih fleksibel dalam Kawalan Keluk Hasil (YCC).

“Walaupun BOJ mengekalkan kadar dasarnya pada -0.10 peratus,YCC yang lebih liberal dilihat sebagai pembuka jalan kepada langkah memperketat monetari pada akhirnya,” katanya.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit turun berbanding yen Jepun kepada 3.2691/2715 daripada 3.2285/2319 pada Khamis, namun mengukuh berbanding euro kepada 4.9966/9998 daripada 5.0374/0424 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8362/8401 daripada 5.8685/8743 Khamis.

Pada masa sama, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN

Mata wang tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.4183/4208 daripada 3.4163/4200 sewaktu ditutup pada Khamis, menyusut berbanding peso Filipina kepada 8.29/8.31 daripada 8.28/8.30 dan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 301.4/301.8 daripada 301.3/301.8 semalam.

Bagaimanapun, ringgit menokok berbanding baht Thailand kepada 13.2058/2218 daripada 13.2634/2829 sebelumnya. – Bernama

Sumber