Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika AS hari ini. - Gambar hiasan

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika AS hari ini. – Gambar hiasan

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, mencatat prestasi berbeza berbanding aliran mata wang serantau susulan impak penurunan harga minyak serta data perdagangan Malaysia yang menyederhana diumumkan pada tengah hari, kata penganalisis.

Pada jam 6 petang, unit tempatan itu berada pada paras 4.5400/5465 berbanding dolar AS daripada 4.5375/5420 pada akhir urus niaga semalam.

Pasaran ditutup pada Rabu bersempena cuti Awal Muharam.

Seorang peniaga berkata, kebanyakan mata wang Asia meningkat pada hari ini berbanding dolar AS selepas unit negara maju itu menyusut dan menamatkan kenaikannya selama dua hari manakala yuan China meningkat didorong oleh campur tangan kerajaan untuk menyokong kelemahannya.

Turut memberi kesan terhadap sentimen ringgit adalah penurunan harga minyak dengan sebarang pengukuhan indeks dolar AS akan memberi impak terhadap harga minyak, katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes memberitahu Bernama, walaupun pergerakan ringgit kekal dipengaruhi oleh prestasi yuan, ringgit ketika ini masih rendah di sebalik pengukuhan ketara mata wang China selain faktor data perdagangan Malaysia menyederhana akibat kesan asas yang mereda.

“Pasaran menyaksikan tindakan China meningkatkan sokongan terhadap yuan dengan kadar rujukan yang lebih kukuh berbanding jangkaan serta perubahan terhadap kekangan modal bagi menarik lebih banyak aliran dana asing.

“Tindakan campur tangan oleh (bank pusat) People’s Bank of China adalah bagi menangani kesan kitaran dalam usaha membendung apa yang disifatkan sebagai spekulasi melampau yang melemahkan yuan pada minggu ini,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama dunia pada akhir urus niaga hari ini.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 5.0902/0975 daripada 5.1038/1088 pada akhir urus niaga Selasa lepas, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.8630/8714 daripada 5.9450/9509 dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.2540/2589 daripada 3.2835/2870 sebelumnya.

Selain itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia mengukuh berbanding peso Filipina kepada 8.32/8.34 daripada 8.34/8.35 pada Selasa dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4324/4378 daripada 3.4346/4383.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding baht Thailand kepada 13.3525/3780 daripada 13.2586/2768 dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 302.9/303.5 daripada 302.5/302.9, sebelum ini. – Bernama

Sumber