Ringgit dijangka terus mengukuh – Ahmad Maslan

Ringgit dijangka terus mengukuh – Ahmad Maslan

Ahmad Maslan - Foto Bernama

Ahmad Maslan – Foto Bernama

RINGGIT dijangka terus mengukuh berdasarkan kepada pergerakan trend terkini, kata Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Dalam rancangan Agenda Awani: Cerita Ringgit dan Poket Rakyat yang disiarkan malam Selasa, beliau berkata, ini berikutan mata wang tempatan itu mencatatkan tahap agak baik minggu ini iaitu dalam lingkungan RM4.53-RM4.63 berbanding dolar Amerika Syarikat.

“Selain itu, indeks komposit Kuala Lumpur (KLCI) juga menunjukkan peningkatan daripada 1,380 mata kepada 1,406 mata yang menunjukkan ekonomi Malaysia sedang menuju ke arah yang tepat, seiring dengan asas-asas yang kukuh.

“Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan ini adalah pengurangan kadar defisit fiskal iaitu pada masa ini 5.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar.

Kerajaan sedang berusaha untuk menurunkannya kepada lima peratus.

“Kerajaan berjaya menguruskan hutang dengan baik dan membayar hutang itu dengan kadar bayaran yang tidak melebihi 15 peratus daripada hasil negara,” katanya.

Menurut Ahmad, kerajaan akan terus berbelanja untuk kebaikan rakyat.

“Kerajaan berazam untuk terus melaksanakan belanja yang memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.

Bajet 2023 sebanyak RM388.1 bilion adalah bajet terbesar dalam sejarah negara.

Sejumlah RM289 bilion daripada bajet itu diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM99 bilion untuk pembangunan.

“Sehingga bulan Jun, separuh tahun ini, sebanyak 49 peratus daripada bajet pembangunan telah digunakan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ingin meningkatkannya kepada 60 peratus menjelang Ogos dan saya yakin sasaran ini dapat dicapai,” katanya. – Bernama

Sumber