Ringgit dibuka tinggi, data IHP AS dijangka rendah

Ringgit dibuka tinggi, data IHP AS dijangka rendah

NILAI ringgit dibuka agak tinggi pagi ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila mata wang AS mencatatkan penurunan kerana pasaran menjangkakan data Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) yang akan dikeluarkan esok adalah lebih rendah.

Pada jam 9.05 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.6605/6650 berbanding dolar AS daripada 4.6685/6725 pada penutup Isnin.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, konsensus menganggarkan IHP keseluruhan dan teras AS masing-masing mencatatkan kenaikan lebih perlahan pada Jun iaitu 3.1 peratus (Mei: 4.0 peratus) dan 5.0 peratus (Mei: 5.3 peratus).

Beliau menambah, indeks dolar AS merosot kepada 101.94 mata manakala hasil nota Perbendaharaan AS 10 tahun susut kepada 3.99 peratus selepas berlegar lebih 4.00 peratus sejak dua hari lepas.

Selain itu, penunjuk dari China juga kurang memberangsangkan dengan kadar inflasi tidak berubah pada 0.0 peratus pada bulan Jun selepas meningkat 0.2 peratus pada bulan sebelumnya.

Pihak berkuasa China juga telah mengumumkan langkah untuk menyokong sektor hartanah dengan membenarkan pinjaman dilanjutkan selama setahun untuk pemaju hartanah yang tidak berdaya maju.

“Justeru, gandingan MYR/USD dijangka lemah kerana prospek global kekal tidak menentu.

“Sementara nilai ringgit mungkin lemah dalam tempoh terdekat, aliran dana terkini dalam pasaran bon menunjukkan pelabur asing terus kekal sebagai pembeli bersih dengan merekodkan RM5.2 bilion pada Jun, lebih tinggi daripada RM3.0 bilion pada bulan sebelumnya,” katanya kepada Bernama.

Dalam enam bulan pertama 2023, dana asing telah menjadi pembeli bersih dengan sejumlah RM21.2 bilion, berbanding jualan bersih RM3.2 bilion pada separuh pertama 2022.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.

Mata wang tempatan menyusut berbanding euro kepada 5.1307/1357 daripada 5.1176/1220 pada penutupan Isnin, lebih rendah berbanding yen Jepun kepada 3.2985/3020 daripada 3.2761/2792 semalam dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.9981/6.0039 daripada 5.9785/9836 sebelumnya.

Berbanding mata wang Asean yang lain, ringgit bergerak kebanyakannya rendah.

Mata wang tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.4692/4728 daripada penutupan Isnin pada 3.4612/4644, susut berbanding baht Thai kepada 13.3214/3400 daripada 13.2790/2961 semalam dan agak rendah berbanding peso Filipina pada 8.39/8.40 daripada 8.38/8.39 sebelumnya.

Namun begitu, ringgit mengukuh berbanding rupiah Indonesia pada 306.4/306.9 daripada 306.9/307.4 semalam. – Bernama

Sumber