Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS

Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS

Gambar hiasan - Foto 123RF

Gambar hiasan – Foto 123RF

NILAI ringgit dibuka hampir tidak berubah berbanding dolar AS pagi ini berikutan sentimen bercampur-campur dengan ekonomi Amerika Syarikat (AS) berkembang pesat manakala ekonomi China pula nampak goyah, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat sedikit kepada 4.6460/6500 berbanding dolar AS daripada 4.6465/6510 pada penutup Jumaat lalu.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka lemah berbanding dolar AS memandangkan Rizab Persekutuan AS kemungkinan mengekalkan pendiriannya untuk menaikkan kadar faedah.

“Perbezaan dalam dasar monetari mampu meningkatkan dolar AS dalam tempoh terdekat,” katanya.

Mohd Afzanizam juga percaya data keluaran dalam negara kasar Malaysia pada suku kedua 2023 yang mencatatkan 2.9 peratus menunjukkan Bank Negara Malaysia mungkin mengekalkan monetari akomodatif mereka.

Dalam pada itu, ringgit diniaga rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding yen Jepun kepada 3.1997/2027 daripada 3.1926/1959 Jumaat lepas, rendah berbanding euro kepada 5.0530/0573 daripada 5.0503/0552 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.9204/9255 daripada 5.9131/9189 sebelumnya.

Pada masa yang sama, ringgit bergerak bercampur-campur berbanding mata wang Asean yang lain.

Ringgit mengukuh berbanding baht Thai kepada 13.1299/1460 daripada 13.1331/1510 tetapi susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4232/4267 daripada 3.4228/4264 Jumaat lepas.

Sementara itu, mata wang tempatan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.27/8.28 dan rupiah Indonesia pada 303.9/304.1. – Bernama

Sumber