Ringgit dibuka rendah, permintaan dolar AS mengukuh

Ringgit dibuka rendah, permintaan dolar AS mengukuh

Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama - Gambar hiasan

Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama – Gambar hiasan

RINGGIT memulakan urus niaga pagi ini rendah berbanding dolar AS berikutan permintaan yang tinggi untuk mata wang AS di tengah-tengah konflik yang berterusan di Timur Tengah.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.7750/7785 berbanding dolar AS daripada penutupan Jumaat minggu lepas pada 4.7655/7700.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan kecenderungan Rizab Persekutuan AS terhadap kadar faedah dalam keadaan semasa boleh meningkatkan lagi permintaan berterusan terhadap dolar AS.

“Kami percaya dolar AS akan terus disokong dengan baik berikutan konflik geopolitik di Timur Tengah,” katanya.

Sementara itu, harga minyak yang menyusut turut mempengaruhi ringgit untuk bergerak rendah selepas mencatatkan peningkatan Jumaat lepas.

Pada sesi awal dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Nilai mata wang tempatan menguncup berbanding euro kepada 5.0543/0580 daripada 5.0462/0510, menyusut berbanding pound Britain menjadi 5.8059/8102 daripada 5.7777/7831 dan rendah berbanding yen pada 3.1861/1886 daripada 3.1781/1813 sebelumnya.

Berbanding mata wang Asia yang lain, ringgit diniaga bercampur-campur.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding baht Thai pada 13.0347/0489 daripada 13.0504/0681 pada penutupan urus niaga Jumaat tetapi susut berbanding dolar Singapura pada 3.4773/4801 daripada 3.4731/4767, lemah berbanding rupiah Indonesia pada 300.7/301.2 daripada 300.1/300.7 dan rendah berbanding peso Filipina pada 8.41/8.43 daripada 8.38/8.40. – Bernama

Sumber