Ringgit dibuka rendah, dolar AS mengukuh

Ringgit dibuka rendah, dolar AS mengukuh

Ringgit diniagakan lebih rendah berbanding dolar AS sewaktu dibuka pada Khamis. - Gambar hiasan

Ringgit diniagakan lebih rendah berbanding dolar AS sewaktu dibuka pada Khamis. – Gambar hiasan

RINGGIT diniagakan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sewaktu dibuka pada Khamis berikutan Indeks Dolar AS (DXY) mengukuh sebanyak 0.20 peratus kepada 103.419 mata.

Penganalisis berkata, keadaan ini berlaku apabila minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) bagi Julai menyatakan ahli-ahli Rizab Persekutuan (Fed) AS masih bimbang dengan inflasi, yang memerlukan kepada pengekalan dasar monetari yang terbatas.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.6420/6455 berbanding dolar AS daripada 4.6265/6320 sewaktu ditutup pada Rabu.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, berikutan ekonomi China yang dilihat goyah dan langkah Bank of Japan (BoJ) yang tidak mungkin mengubah pendirian monetari akomaditifnya, dolar AS mungkin kekal sebagai mata wang yang diburu.

“Oleh itu, USD/MYR dijangka terus lemah dalam masa terdekat ini dan bergerak antara RM4.62 dan RM4.63.

“Ringgit terus berada pada sekitar paras sokongan RM4.6257 dengan paras rintangan semasa pada RM4.7495,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata sekiranya kadar itu melebihi 4.6450, ringgit-dolar AS akan bergerak pada paras 4.6850 dan 4.7450.

Sebaliknya, jika di bawah paras 4.6130, ringgit berupaya meningkat sekitar paras 4.5750 berbanding dolar AS, katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1708/1734 daripada 3.1782/1822 pada Rabu dan naik berbanding euro kepada 5.0459/0497 daripada 5.0549/0609, namun merosot berbanding pound Britain kepada 5.9046/9091 daripada 5.9020/9090 pada penutupan semalam.

Pada masa sama, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4102/4130 daripada 3.4086/4132 pada Rabu, namun menokok berbanding baht Thailand kepada 13.0547/0693 daripada 13.0777/0995 sebelum ini.

Mata wang itu merosot berbanding peso Filipina kepada 8.19/8.21 daripada 8.18/8.20 semalam dan turun berbanding rupiah Indonesia kepada 303.7/304.1 daripada 302.7/303.2 sebelumnya.- Bernama

Sumber