Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini seiring dengan penyusutan harga minyak mentah global.

Pada jam 9.02 pagi, unit tempatan itu berada pada paras 4.3550/3650 berbanding AS daripada 4.3530/3630 sewaktu ditutup semalam.

Harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global susut di bawah AS$20 setong berikutan kebimbangan mengenai kemudahan simpanan serta keadaan ekonomi global.

Minyak mentah tersebut didagangkan pada paras 0.6 peratus lebih rendah pada AS$19.87 ketika isu membabitkan tempat simpanan yang terhad khususnya di AS manakala sentimen ekonomi global terus dijejaskan oleh penularan koronavirus (Covid-19).

Rakuten Trade Sdn Bhd berkata, kebimbangan itu terus ketara ketika AS menjadi negara penyumbang utama kepada angka membabitkan Covid-19 berkenaan.

Dalam pada itu, pada sesi pembukaan dagangan hari ini, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0673/0759 daripada 3.0672/0754 sewaktu ditutup pada Isnin namun meningkat berbanding yen kepada 4.0591/0688 daripada 4.0610/0715.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4120/4261 daripada 5.4121/4254 manakala berbanding euro, ia turut naik kepada 4.7169/7290 daripada 4.7221/7347 semalam. – Bernama



Sumber