Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar AS

Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR – Ringgit memulakan urus niaga Isnin dengan lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta kebanyakan mata wang utama termasuk Asia ketika pasaran menunggu hasil mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) yang dijadual pada 19-20 September ini.

Pada jam 9.11 pagi Isnin, ringgit meningkat kepada 4.6700/6750 berbanding dolar AS daripada 4.6745/6795 yang dicatatkan pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dalam tempoh interim ini, peserta pasaran akan mengikuti rapat data utama seperti Indeks Harga Pengguna (IHP) AS.

“Konsensus dalam kalangan penganalisis adalah IHP itu berkemungkinan mencatatr kenaikan 3.6 peratus pada Ogos susulan peningkatan pada 3.2 peratus dalam bulan sebelumnya.

“Susulan itu, dijangkakan kadar pertukaran bagi dolar AS kepada ringgit akan mencecah dalam julat RM4.66 hingga RM4.68,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding euro kepada 5.0030/0083 daripada 5.0031/0085 pada Jumaat dan naik berbanding pound Britain kepada 5.8310/8372 daripada 5.8352/841.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding yen Jepun kepada 3.1767/1803 daripada 3.1741/1777.

Unit tempatan itu juga diniagakan mengukuh berbanding mata wang Asean lain.

Ini termasuk meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4227/4269 daripada 3.4277/4312 pada penutupan Jumaat; naik berbanding rupiah Indonesia pada 304.6/305.1 daripada 304.9/305.4, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.1220/1431 daripada 13.1591/1787 dan tinggi berbanding peso Filipina pada 8.24/8.26 daripada 8.25/8.26. – Bernama

Sumber