Ringgit catat peningkatan yang positif

Ringgit catat peningkatan yang positif

Ringgit mencatatkan peningkatan yang baik disumbangkan oleh situasi di AS. - Foto 123RF

Ringgit mencatatkan peningkatan yang baik disumbangkan oleh situasi di AS. – Foto 123RF

RINGGIT mencatatkan peningkatan yang baik disumbangkan oleh situasi di Amerika Syarikat (AS) dengan rata-rata peserta pasaran masih lagi membincangkan mengenai tempoh Rizab Persekutuan AS (Fed AS) akan mula memberhentikan proses kenaikan kadar faedah, kata seorang penganalisis.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ia menjadi faktor utama untuk ringgit mencatatkan kenaikan.

“Minggu ini juga kita dapat melihat data seperti data inflasi di AS yang sudah mula menurun dan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang juga menyatakan bahawa terdapat risiko kemelesetan ekonomi di AS.

“Minit tersebut menggambarkan bahawa terdapat kemungkinan pihak Fed AS akan menghentikan proses kenaikan kadar faedah mereka dan ini banyak menyumbang kepada kenaikan nilai ringgit buat masa ini,” katanya kepada media selepas melancarkan perkhidmatan kutipan fidyah di kaunter cawangan Bank Muamalat Wilayah Persekutuan dan negeri Selangor di sini pada Jumaat.

Bank Muamalat menjadi institusi perbankan Islam pertama yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk menawarkan khidmat nasihat, pengiraan dan pembayaran fidyah.

Mengenai perkhidmatan kutipan fidyah tersebut, Mohd Afzanizam berkata langkah itu akan memudahkan pelanggan Bank Muamalat dalam urusan pembayaran fidyah.

“Kami di pihak Bank Muamalat ingin menyampaikan perkhidmatan yang dianggap sebagai menyeluruh dalam kewangan Islam.

“Justeru, menjadi harapan kami supaya pelancaran ini dapat kita uar-uarkan bahawa Bank Muamalat ada menyediakan perkhidmatan pembayaran fidyah bagi kedua-dua majlis agama Islam ini,” katanya.

Dalam kenyataan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan beberapa majlis agama Islam negeri lain untuk memperluaskan penawaran khidmat pembayaran fidyah di kaunter kepada umat Islam di seluruh negeri secara berperingkat.

Katanya, ia merupakan usaha untuk menjadi pusat penyelesaian sehenti dalam memenuhi semua keperluan kewangan dan memberi manfaat kepada pelanggan.

Bank Muamalat telah menganjurkan inisiatif tahunannya dengan pelbagai program komuniti seperti enam siri jelajah majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim, asnaf dan mualaf yang turut disertai para pengamal media dan rewang bubur lambuk di lebih 60 lokasi di seluruh negara. – Bernama

Sumber