RAYA ‘ALL OUT’

RAYA ‘ALL OUT’

Sambutan hari raya Aidilfitri semenjak dua tahun lalu disambut dengan serba sederhana dan rakyat tidak dibenarkan pulang berkumpul di kampung halaman. Berikutan pandemik covid-19 selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menghadkan pelaksanaan aktiviti dan melarang orang ramai untuk berkumpul bagi mengelakkan penularan virus covid-19.

Aktiviti ziarah menziarahi rumah sanak saudara dan rakan handai, pengalaman menempuh kesesakan lalu lintas, kanak-kanak bermain bunga api dan mercun, serta kenangan memasang pelita pastinya sangat dirindui.

Lagu raya baharu juga tidak banyak kerana mengenangkan situasi semasa. Hanya dendangan lagu raya lama mengiringi suasana hari raya.

Justeru tahun ini, kanak-kanak serta orang dewasa cukup teruja dan tidak sabar untuk merayai syawal dengan serba meriah. Melakukan kembali tradisi sedia ada bersama keluarga tercinta.

Lantaran itu, pihak syarikat rakaman Universal Music Malaysia bakal melancarkan lagu raya baharu yang melibatkan ramai artis ternama negara seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Yonnyboii, Dolla, Kmy Kmo, Luca Sickta, Sophia Liana dan Hannah Delisha.

Menurut Pengurus Promosi dan Pemasaran Universal Music Malaysia, Anne Mukhtar, penerbitan lagu raya itu adalah bagi mengembalikan semula ‘mood’ selepas dua tahun hanya berapa di rumah.

Universal Music menyajikan lagu-lagu raya yang baharu dan menarik untuk menemani anda sepanjang perjalanan pulang ke kampung dan memeriahkan suasana raya anda di kampung.

Pelancaran lagu raya baharu itu cukup istimewa kerana ada antaranya yang sudah lama tidak merakamkan lagu raya seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah.

Selepas dua tahun beraya dalam fasa PKP, biarlah raya kali ini kita ‘all out’ selepas dua tahun tidak melaluinya.