‘Ramai orang macam saya yang perlu diselamatkan’

‘Ramai orang macam saya yang perlu diselamatkan’

SHAH ALAM – Penubuhan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) lapan tahun lalu bertujuan untuk membantu umat Islam lebih mendalami dan menghayati isi kandungan al-Quran.

Pengasasnya, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, pendekatan menggabungkan konsep bacaan dan tadabbur al-Quran menerusi program My #QuranTime itu memudahkan orang ramai mempelajari kitab suci tersebut.

“Gerakan ini bermula kerana apa yang saya mahukan untuk diri sendiri, kerana dahulunya saya tidak pandai sangat membaca al-Quran.

“Sebelum ini saya ingat itu masalah saya sahaja, rupanya masih ramai lagi di luar sana yang tidak boleh membaca al-Quran dengan betul.

“Ramai orang macam saya yang perlu diselamatkan, sebab itu timbulnya satu gerakan untuk menyelamatkan ummah.

“Pada awalnya, kita nak buat orang cinta dan meminati untuk membaca al-Quran dan Alhamdulillah, mungkin melalui pendekatan yang disampaikan oleh qari dan pentadabbur menyebabkan orang ramai ingin tahu dengan lebih mendalam tentang kalam suci ALLAH SWT,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai program My #QuranTime 2.0 di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Mengulas mengenai My #QuranTime 2.0, Hussamuddin berkata, program itu akan menyediakan bentuk pengisian yang lebih terperinci dan mendalam berbanding sebelumnya.

“Dalam My #QuranTime 1.0, kita tadabbur satu halaman setiap hari, kita harap dalam musim kedua ini, kita nak ke arah lebih mendalam lagi.

“Kita akan perkenalkan elemen baharu iaitu hafalan dan amalan (untuk menghafal al-Quran) dengan cara yang terbaik melalui solat.

“Sekiranya mereka boleh hafal, sekurang-kurangnya tiga atau empat ayat tersebut boleh digunakan dalam solat sepanjang hari,” ujarnya.

Jelas beliau, pihaknya sedang dalam proses untuk membina satu studio di Kompleks Kumpulan Karangkraf yang lengkap dengan peralatan khusus untuk program My #QuranTime 2.0 kali ini.

“Kapasiti studio tersebut dijangka dapat menampung 40 hingga 50 peserta bagi setiap episod.

“Sepanjang kita buat My #QuranTime, kita terima banyak dana infaq, jadi sudah tiba masa kita gunakan wang tersebut untuk manfaat peserta,” jelas beliau.

Sumber