#QuranHour for Gaza solidariti golongan muda permotoran terhadap Palestin

#QuranHour for Gaza solidariti golongan muda permotoran terhadap Palestin

SEPANG – #QuranHour for Gaza dan Maulid Akbar menjadi bukti menunjukkan semangat kebangkitan suara golongan muda dalam menyatakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Pengasas dan Penasihat Syabab Bikers, Muhammad Fahmi Kamarul Zaman berkata, kejayaan kempen anjuran kumpulan permotorannya dengan kerjasama Pertubuhan Pengerak Insani dan Two Wheel Brotherhood itu dapat dilihat apabila kehadiran peserta mencecah hampir 3,000 orang pada Ahad.

Ujar beliau, ia sekali gus menepati objektif anjuran program berkenaan iaitu menggalakkan penyertaan anak-anak muda terutamanya dalam bidang permotoran untuk mendekati dakwah serta mesej-mesej Islamik menerusi majlis-majlis agama.

Kehadiran peserta bagi kempen #QuranHour for Gaza dan Maulid Akbar pada Ahad.

Kehadiran peserta bagi kempen #QuranHour for Gaza dan Maulid Akbar pada Ahad.

“Pada saya itu adalah kekuatan yang perlu kita bina dalam anak muda. Itu juga antara pendekatan yang kami bawa dalam dakwah Syabab Bikers kepada permotoran, yang mana kita bawa anak muda ini untuk mendekati majlis-majlis Rasulullah.

“Supaya mudah-mudahan dalam diri mereka ini hadirnya mahabbah ertinya cinta kepada Rasulullah SAW.

“Sebab saya yakin bila mana dalam diri mereka ada rasa cinta pada Rasulullah SAW, pasti mereka berada dalam satu landasan yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual wartawan Sinar Harian di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada Ahad.

Turut hadir adalah Ketua Pengarah Eksekutif Institut Ulama Al-Juwaini, Ustaz Syamil Esa

Kempen yang bertemakan Formula Kemenangan untuk Ummah berpandukan Surah Al-Insan itu dianjurkan sempena Kapcai Mega Gathering pada jam 10 pagi hingga 2 petang.

MUHAMMAD FAHMI

MUHAMMAD FAHMI

Sementara itu, menurut Muhammad Fahmi, penglibatan anak-anak muda dalam program kerohanian itu penting dalam mendidik mereka serta generasi masa depan supaya lebih berminat dalam mengenal Islam dan Rasulullah SAW.

Ulasnya, pada masa yang sama, menerapkan mesej-mesej Islamik dan perjuangan Palestin dalam menentang Zionis Israel.

“Insya-ALLAH mesej-mesej (Islamik) yang dibawa oleh #QuranHour ini kita akan bawa ke program-program lain sebab #QuranHour memperjuangkan (pendekatan) baca, faham dan amal al-Quran.

“Mudah-mudahan kami berharap ada lebih banyak lagi badan agensi atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama dalam usaha membawa golongan muda ini ke jalan bermanfaat,” menurutnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai aktiviti dalam program tersebut, ujar Muhammad Fahmi, pihak mereka mengadakan perarakan Maulidul Rasul pada waktu pagi dan disambung dengan Maulid Akhbar.

“Kemudian kita juga adakan persembahan kesenian Islam serta cabutan bertuah, yang mana hadiahnya adalah pakej umrah berharga RM10,000,” ulasnya.

Syabab Bikers merupakan antara rakan sinergi dalam menjayakan Retromania Auto Show di MAEPS yang diadakan pada Sabtu hingga Ahad ini.

Sumber