PROMOSI PELANCONGAN MELAKA BERSAMA LRT

PROMOSI PELANCONGAN MELAKA BERSAMA LRT

Promosi Pelancongan Melaka Bersama LRT

KUALA LUMPUR, 26 September – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Hj. Sulaiman Md Ali hari ini melancarkan program Promosi Pelancongan Melaka, yang menggunakan tren LRT Rapid KL sebagai platform pengiklanan di mana sebuah tren penuh LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dibalut penuh dengan iklan mempromosi Melaka sebagai destinasi pelancongan.

Diadakan di Stesen LRT Masjud Jamek, majlis pelancaran berkenaan turut dihadiri oleh Anggota Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Encik Muhammad Nizam Alias.

Dalam ucapannya, Encik Muhammad Nizam merakamkan ucapan penghargaan kepada Datuk Seri Utama Hj. Sulaiman atas langkah inovatif untuk memilih kolaborasi dengan Prasarana bagi melaksanakan program pengiklanan ‘train wrap’ itu.,

“Selain menyokong visi kami di Prasarana untuk menggalakkan lebih ramai orang awam menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, langkah menggunakan aset-aset Prasarana dan Rapid KL untuk tujuan promosi dan pengiklanan sememangnya adalah langkah yang bijaksana khususnya pada masa sekarang ketika para pelancong asing tidak dibenarkan memasuki negara kita kerana risiko penularan wabak COVID-19.

“Harapan saya di Prasarana adalah supaya inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri Melaka ini akan diikuti oleh kerajaan-kerajaan negeri lain dan juga syarikat-syarikat korporat untuk menggunakan aset-aset Prasarana dan Rapid KL bagi tujuan promosi pengiklanan. Selain ‘train wrap’ di bahagian luar tren, ruang-ruang iklan yang ditawarkan oleh Prasarana turut meliputi bahagian dalam tren LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, LRT Laluan Kelana Jaya dan juga Laluan Monorel; tetapi juga di stesen-stesen dan tiang-tiang rangkaian LRT dan monorel.

“Untuk pengiklanan aset-aset MRT seperti tren-tren dan stesen-stesen MRT, urusan boleh dilakukan secara langsung dengan rakan kami, MRT Corporation, yang menjadi pemillik aset perkhidmatan MRT,” katanya, sambil menambah bahawa Prasarana turut turut menawarkan pakej pengiklanan ‘hak penjenamaan stesen’ atau ‘station naming rights’.

“Di bawah pakej ini, syarikat-syarikat korporat atau organisasi-organisasi boleh meletakkan nama dan jenama mereka dengan mana-mana stesen. Antara stesen-stesen yang sudah diberikan hak penjenamaan adalah Stesen LRT Bank Rakyat – Bangsar; Stesen LRT KL Gateway – Universiti; dan Stesen Monorel Air Asia – Bukit Bintang. Jadi, kalau Kerajaan Negeri Melaka berminat, kita boleh menjualkan hak jenama seperti Stesen LRT Melaka Bersejarah Hang Tuah, umpamanya,” tambah beliau.