Produk berkualiti, harga berpatutan

Produk berkualiti, harga berpatutan

SYARIKAT bumiputera, SR Food Industry Resources Sdn Bhd (SR Food) yang menawarkan pelbagai produk hasil laut kering dari Tawau, Sabah berusaha meluaskan rangkaian produknya ke pasar raya terkemuka di seluruh negara sebagai strategi untuk mengukuhkan kedudukannya di pasaran tempatan.

Pengarah Operasi dan Strategi Perniagaannya, Syed Luqman Hakim Syed Alwi berkata, produk hasil laut kering berjenama Mutiara Seafood itu dipasarkan secara dalam talian dan di pasar raya terkenal seperti Hero Market, AJ Best dan Malakat Mall.

Hasil laut kering nelayan dari Tawau, Sabah yang dijemur di atas bagang di perairan Laut China Selatan.

Hasil laut kering nelayan dari Tawau, Sabah yang dijemur di atas bagang di perairan Laut China Selatan.

Menurutnya, sebagai peneraju hasil laut kering dari Sabah, SR Food menawarkan sebanyak 12 produk terdiri daripada ikan bilis, udang kering, ikan masin dan sembilan jenis ikan kering berkualiti tinggi pada harga berpatutan.

Katanya, beliau mengambil inisiatif menawarkan hasil laut kering dari Tawau bagi memudahkan penduduk di Semenanjung mendapatkan produk berkenaan tanpa perlu datang ke Negeri Di Bawah Bayu itu.

“Kami menawarkan harga 40 peratus lebih rendah daripada pasaran kerana produk berkenaan diambil terus daripada nelayan di Tawau.

“Ia diusahakan sendiri oleh mereka. Kualitinya terjamin kerana golongan nelayan ini amat mementingkan teknik pengeringan hasil laut yang dilakukan di atas bagang milik mereka di tengah laut,” katanya kepada Bisnes Sinar.Pemuda berusia 28 tahun itu berkata, walaupun perniagaannya masih baharu, namun SR Food merupakan vendor utama yang membekalkan 50 peratus hasil laut kering di bahagian kering Hero Market, terutamanya di 28 cawangan pasar raya berkenaan di sekitar Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

“Buat masa ini, kami membekalkan 10 tan daripada 20 tan produk hasil laut kering dari Tawau kepada Hero Market.

“Kami menerima maklum balas positif daripada pasar raya ini kerana ia mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan berikutan kualitinya,” katanya.

Tambah beliau, kesemua produk hasil laut kering tersebut tiada bahan pengawet dan dikeringkan secara tradisional di 30 buah bagang yang terdapat di perairan Laut China Selatan.

Keistimewaan

“Ia merupakan antara keistimewaan produk kami.

“Kesemua 20 nelayan yang menjadi pembekal utama kami akan mengeringkan 50 tan hasil laut mereka di 30 buah bagang berkenaan sebaik menaikkan hasil tangkapan,” katanya.

Tambahnya, selain membekalkannya di Hero Market, produk SR Food juga mendapat sambutan yang memberangsangkan menerusi pembelian secara dalam talian.

Syed Luqman Hakim menjelaskan, SR Food memilih untuk memasarkan hasil laut kering dari Sabah kerana sejak dahulu lagi negeri berkenaan mendapat jolokan syurga makanan laut di negara ini.

Yusra (tengah) bersama Ketua Pegawai Operasi AJ Best Holdings Sdn Bhd, Fahim Anwar Ali (kanan) dan Pengurus pasar raya AJ Best cawangan Chow Kit, Kuala Lumpur Ayu meneliti produk SR Food yang baru dibawa masuk dari Tawau, Sabah.

Yusra (tengah) bersama Ketua Pegawai Operasi AJ Best Holdings Sdn Bhd, Fahim Anwar Ali (kanan) dan Pengurus pasar raya AJ Best cawangan Chow Kit, Kuala Lumpur Ayu meneliti produk SR Food yang baru dibawa masuk dari Tawau, Sabah.

“Ia menyebabkan kami mahu berkongsi kelebihan tersebut dengan penduduk di sini kerana produk berkenaan diambil terus daripada nelayan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan masih terdapat segelintir peniaga yang menjual hasil laut berkenaan pada harga lebih mahal berikutan peningkatan pelbagai kos yang ditanggung nelayan dan peraih.

“Kadang-kadang pengguna mahu membeli produk berkenaan dalam kuantiti yang sedikit sahaja tetapi mereka terpaksa melupakan hasrat itu kerana perlu mengeluarkan kos yang tinggi dan mengambil masa yang lama untuk mendapatkannya.

“Dengan adanya produk kami di Hero Market dan platform e-dagang, mereka boleh mendapatkannya pada bila-bila masa sahaja. Malah, mereka juga boleh melihat sendiri kualiti produk kami di Hero Market,” ujarnya.

Katanya, pembeli yang membeli produk SR Food secara dalam talian juga akan mendapat kualiti yang sama seperti produk di Hero Market.

SR Food yang ditubuhkan pada awal tahun 2020 beroperasi menerusi pejabatnya di Cyberjaya dan pusat logistik di Setia Alam, Shah Alam, Selangor.

Ia ditubuhkan atas hasrat Syed Luqman Hakim yang mahu memudahkan orang ramai mendapatkan produk hasil laut kering berkualiti pada harga berpatutan.



Sumber