PPAK laksana Malaysia #QuranHour kali ketujuh

PPAK laksana Malaysia #QuranHour kali ketujuh

ALOR SETAR – Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (PPAK) terus menyokong usaha membudayakan masyarakat dengan amalan membaca al-Quran melalui perlaksanaan program Malaysia #QuranHour kali ketujuh di Auditorium PPAK pada Selasa.

Pengarah PPAK, Shahizan Affandi Zakaria berkata, program ini mendapat sokongan daripada 70 perpustakaan awam, daerah dan desa dalam meningkatkan usaha mendekatkan al-Quran dalam kalangan masyarakat.

Shahizan berkata, program ini merupakan langkah bagi membentuk masyarakat ke arah minat membaca al-Quran serentak dalam tempoh sejam samada secara bersendirian, berdua ataupun beramai-ramai di mana sahaja tidak kira sekolah,rumah ataupun pejabat.

“Melalui program ini, kita berharap dapat mendekatkan al-Quran dalam kalangan rakyat Malaysia, sekaligus menjadikan perpustakaan relevan dalam masyarakat dan memartabatkan pustakawan sebagai warga pendidik selepas sekolah.

“Alhamdulillah, seramai 393 peserta dari 70 perpustakaan di seluruh Kedah dengan 120 daripadanya di auditorium mengambil bahagian dalam acara yang memberi fokus kepada surah Al-Sajdah ini,” katanya pada Majlis Perasmian Malaysia #QuranHour 2022 di Auditorium PPAK, di sini, pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, beliau berharap usaha ini mampu memberi galakan kepada masyarakat untuk menjadikan al-Quran sebagai rutin bacaan setiap hari.

“Walaupun bacaan al-Quran hanya dalam tempoh sejam namun ia diharapkan berterusan dan boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa,” katanya.

Sebelum itu, acara dimulakan dengan doa, diikuti ucapan aluan daripada Shahizan Affandi dan tayangan montaj Malaysia #QuranHour 2022.

Ia disusuli bacaan surah Al-Sajdah dipimpin guru Maahad Tahfiz Sains Darul Muttaqin (MASDAR) Syeikh Mahgoub Abdulaziz Mahgoub dan tadabbur Surah Al-Sajdah dilakukan Abdul Hadi Abu Kassim juga GurugMASDAR.

Sementara itu, Wakil Rumah Ngaji Kedah, Saloni Mustaffa berkata, Malaysia #QuranHour di Kedah turut dilaksanakan secara serentak di beberapa lokasi lain di negeri ini.

“Seramai 230 pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Hi-Tech Kulim mengambil bahagian dalam membaca al-Quran beramai-ramai dalam usaha membudayakan bacaan al-Quran khasnya surah Al-Sajdah.

“Antara lain, SMK Agama Baling melibatkan 700 pelajar dengan matlamat menghayati dan tadabbur surah Al-Sajdah serta Masjid Sultanah Bahiyah,” katanya.

Sebahagian peserta mengambil bahagian dalam program Malaysia #Quran Hour kali ketujuh di Auditorium PPAK pada Selasa.

Sebahagian peserta mengambil bahagian dalam program Malaysia #Quran Hour kali ketujuh di Auditorium PPAK pada Selasa.

Sumber