Platform dakwah terhadap bukan Islam

Platform dakwah terhadap bukan Islam

SHAH ALAM – Selain memupuk pemahaman yang baik terhadap al-Quran, World #QuranHour turut menjadi platform dakwah bagi masyarakat bukan beragama Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, program ini juga secara tidak langsung menjadi wadah untuk menjelaskan salah faham yang berlaku terhadap agama Islam selama ini.

Marhaini

Marhaini

Ujar beliau, menerusi program tersebut, individu yang bukan Islam diberi pendedahan dengan gaya yang agak berbeza berbanding mereka yang Muslim.

“Kebiasaannya ketika World#QuranHour kita menekankan dalam setiap pembawaan surah tentang konsep syukur dan takwa.

“Akan tetapi dengan rakan-rakan yang bukan beragama Islam, kita banyak terangkan tentang pemahaman yang lebih hampir kepada dia seperti apa tujuan dan erti sebuah kehidupan. Jadi, dekat situ, mereka senang memahami apa yang cuba disampaikan oleh kitab suci ini.

“Ini juga sedikit sebanyak dapat hilangkan sentimen Islamofobia yang sering dimainkan oleh individu tidak bertanggungjawab,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Marhaini mengulas, program ini juga menjadi satu titik tolak antara WUIF dengan beberapa organisasi dakwah dalam mengorak langkah terhadap memperluaskan usaha dakwah dalam pelbagai kaedah.

“Kita ada bekerjasama Multiracial Reverted Muslims (MRM) dan juga Global Peace Foundation, setiap pihak membawa kaedah yang berbeza-beza dalam penerangan Islam.

“Akan tetapi ia bukan satu masalah kerana cara pembawaan adakalanya berbeza-beza kerana kita mempunyai subjek dakwah yang tidak sama.

“Insya-ALLAH, usaha ini akan berterusan sehingga kita boleh berjaya lebarkannya di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

26 negara turut serta

Sementara itu, penganjuran World #QuranHour oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) pada 13 April bukan sahaja mendapat sambutan daripada kalangan masyarakat tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, sebanyak 26 negara dengan 236 lokasi terlibat dalam menjayakan program tersebut.

“Antara negara tersebut ialah Bangladesh dengan 200 lokasi, Mesir(1), Brunei (2), Indonesia (4), Thailand (4), Arab Saudi (7), Nigeria (1), Australia (1), Korea (1) dan Jordan (1).

“Turut menyertai New Zealand (1), Japan (1), Burkina Faso (1), Cyprus (1), Türkiye (1), Kemboja (1), Tanzanya (1), Sudan (1), Kenya (1), Belanda (1), Afghanistan (1), Amerika Syarikat (1), Kuwait (1), Belgium (1) dan Sweden (1) serta Oman (1),” kata beliau kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Marhaini bagaimanapun mengatakan bahawa tidak semua lokasi menganjurkan program itu secara serentak kerana terdapat kawasan seperti di Kerala, India yang akan mengadakannya pada 17 April.

Bercerita lanjut tentang acara tersebut, beliau berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk mempromosikannya di negara luar termasuk menggunakan platform Kementerian Luar.

“Kita juga turut berhubung dengan pihak kedutaan di serata dunia di samping terdapat juga rakyat Malaysia di luar negara. Jadi, mereka antara tulang belakang kepada acara tersebut.

“Selain itu, kita juga turut mempublisitikan program ini kepada alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di serata dunia bagi menjayakannya kerana seperti kita sedia maklum, kampus itu mempunyai mahasiswa antarabangsa yang ramai,” tambahnya.

Sumber