PETRONAS MENGAJAK RAKYAT MALAYSIA CINTAI PRODUK TEMPATAN

PETRONAS MENGAJAK RAKYAT MALAYSIA CINTAI PRODUK TEMPATAN

Petronas Dagangan Berhad (PDB) telah meneruskan semarak kempen beli barangan Malaysia dengan melancarkan Kempen “Love Local’ pada 8 September 2020 dalam menyahut usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Kempen ini dilancarkan sebagai usaha berterusan PDB untuk sama-sama mengajak rakyar Malaysia supaya membeli dan menyokong produk tempatan dalam menjana pendapatan domestik.

Kempen ‘Love Local’ yang digiatkan ini, diharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kualiti produk tempatan yang kini sudah setanding dengan jenama antarabangsa. Usaha yang telah dilakukan ini, bertujuan menyemai rasa bangga di kalangan  rakyat Malaysia terhadap bakat tempatan, di samping memperkasakan bakat yang mereka ada serta sama-sama memulihkan ekonomi Malaysia yang telah terjejas ketika COVID-19.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, PDB mengajak rakyat Malaysia memilih jenama tempatan dengan tawaran diskaun istimewa bagi setiap pembelian produk makanan dan minuman (F&B) buatan     tempatan yang telah terpilih di Kedai mesra Petronas mulai sekarang hingga Februari 2021. Manakala, mulai November 2020 hingga Januari 2021, pelanggan yang berbelanja minimum RM30 untuk bahan api atau membeli barangan di Kedai Mesra Petronas dapat menikmati baucer diskaun bagi tawaran istimewa oleh rakan kongsi dan vendor tempatan PDB.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, YB Datuk Alexander Nanta Linggi telah memberitahu kepada media, “Kami amat berbesar hati mendapat sokongan daripada PETRONAS dalam kempen ini yang bertujuan untuk memperkasakan perniagaan tempatan terutama ketika berdepan cabaran yang sedang dihadapi negara ketika ini. Kesan penularan COVID-19 telah memberikan impak kepada perniagaan tempatan dan menjadi harapan kami agar kempen ini dapat mengajak rakyat Malaysia sama-sama berganding bahu”.

Kempen ini juga sejajar dengan program Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) PDB, yang telah dilaksanakan selama lebih dari 25 tahun untuk mendukung perniagaan tempatan. Setakat ini, PDB mempunyai lebih dari 350 vendor tempatan di Kedai Mesra Petronas di seluruh negara, yang membekalkan pelbagai pilihan makanan tempatan seperti nasi lemak, bihun goreng termasuklah makanan ringan, pastry dan minuman tempatan.

Ketika pelancaran kempen ini di Stesen PETRONAS Jalan Kolam Ayer, PDB membawakan khas tujuh peniaga tempatan baharu di bawah program PKSnya iaitu Brownie Cookies oleh TFN Success Group, Nasi Lemak Saleha, Snek Tempatan baharu oleh Industri Makanan Bistari, Kuih Tempatan (Sri Talamaz) oleh Rahmat Venture Sdn. Bhd, Jus Sparkling oleh The Tapping Tapir, Sambal Rindu oleh Far Cekap dan Jus Jagung Hebat oleh AEH Internasional Trade. Naib Presiden Pemasaran PETRONAS, Ahmad Adly Alias berkata, “Sebagai jenama tempatan, kami juga berkongsi sentiment yang sama dengan usaha kerajaan terutamanya atas pencapaian kami dari satu tahap dalam memanfaatkan keupayaan dan sumber daya tempatan. Dengan bangganya juga, rangkaian produk kami yang merangkumi Primax 95 dengan Pro-Drive yang diformulasikan secara tempatan telah menjadi pilihan rakyat Malaysia.