PERTAHAN PRIVASI DATA RAKYAT

PERTAHAN PRIVASI DATA RAKYAT

Susulan sidang Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) yang telah membangkitkan persoalan tentang penjualan aplikasi pengesanan COVID-19 (My Sejahtera) kepada sebuah syarikat swasta, #RasuahBusters justeru terpanggil untuk memberikan kenyataan berhubung isu ini.

#RasuahBusters menegaskan bahawa trend dan amalan pihak kerajaan melaksanakan rundingan secara terus dengan pihak-pihak tertentu dalam isu membabitkan data awam ini telah menimbulkan persepsi bahawa standard governans di Negara ini masih lemah. Proses pemerolehan kontrak memerlukan usaha yang wajar dan siasatan yang telus untuk menentukan pemberian sebarang award tidak mempunyai sebarang pertalian politik atau konflik kepentingan mana-mana pihak. Kita tidak mahu sebarang inisiatif CSR menjadi pintu masuk kepada urusniaga berat sebelah dan tidak telus.

Intipati kontrak harus terbuka dan kerajaan perlu mengambil kira keyakinan awam yang mahukan jaminan bahawa MoH benar-benar melindungi data peribadi mereka dan tidak melanggari undang-undang yang termaktub di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Kontroversi yang timbul ini menimbulkan kegusaran kerana ia melibatkan 38 juta pengguna My Sejahtera. Manipulasi data bukan saja boleh berlaku berkaitan maklumat kesihatan dan data peribadi bahkan aplilkasi tersebut mempunyai rekod jejak lengkap operasi perniagaan, strategi dan pelbagai bentuk informasi yang boleh di petakan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Ini boleh mengakibatkan kerugian berbillion ringgit dan memberi kesan tidak langsung kepada sistem ekonomi dan sosial negara.

Potensi kebocoran data akibat salah guna atau kecuaian transaksi tertentu hanya akan memperluas ruang dan peluang jenayah rasuah dan memperlahankan usaha mengembalikan #NilaiMoralKarakterBangsa yang menjadi asas kestabilan dan pemulihan negara.

Mempertahankan kerahsiaan data ini adalah mandat oleh rakyat dan kerajaan harus mempraktikkan akauntabiliti yang tinggi terhadap amanah dan tanggungjawab ini. Rakyat memandang secara kritikal dan tidak akan bertoleransi terhadap prinsip ketelusan dan profesionalisme kerajaan dalam menangani isu ini.

Demi mengelakkan ketirisan, adalah munasabah untuk pihak kerajaan mempertimbangkan bahawa sebarang rundingan harus memberi keutamaan kepada entiti berpusatkan kepentingan dan keuntungan jangka panjang kepada rakyat dan ini tentunya mengurangkan risiko berlakunya amalan kronisme. Rantaian ganas ini harus diputuskan agar normalisasi budaya ini tidak terus membarah