Persediaan usahawan depani krisis, kejutan

Persediaan usahawan depani krisis, kejutan

MENGAMBIL pengajaran daripada pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia sebelum ini, SME Bank tampil menganjurkan ‘Forum Memperkukuh Ketahanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Usahawan Terhadap Krisis dan Kejutan Masa Depan’.

Forum yang diadakan sempena SME Bank Xcess 2023 itu bertujuan untuk memberi pendedahan serta langkah awal kepada usahawan supaya lebih bersedia mendepani cabaran pada masa akan datang.

Acara yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Khamis itu turut menampilkan tiga panel iaitu Ketua Ekonomi Bank Islam, Firdaos Rosli; Ketua Penyelidik Ekonomi SME Bank, Lynette Lee dan Ketua Penyelidik MIDF Amanah Investment, Imran Yassin Md Yusof.

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan SME Bank, Datuk Dr Mohamad Hardee Ibrahim ketika ditemui berkata, tujuan forum itu diadakan bagi memberi pendedahan kepada peserta terutamanya usahawan mengenai persediaan awal yang perlu diambil.

Jelasnya, melalui program berkenaan peserta didedahkan dengan langkah untuk mengatasi sekiranya mendepani krisis sama pada masa akan datang serta mengambil pengajaran daripada pandemik tersebut.

“Saya tidak inginkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibuat lagi,diharap ia menjadi tahun yang baik tetapi kita tidak boleh jangka sekiranya ada lagi krisis sedemikian. Jadi, sebab itulah kita perlupastikan usahawan kita bersedia dan mengambil pengajaran darupada apa yang berlaku.

“Susulan pandemik yang berlaku sebelum ini, kita lihat banyak usahawan yang gagal mempertahankan perniagaan dan begitu rapuhnya simpanan atau modal yang mereka ada. Jadi, program ini juga kita dedahkan peserta mengenai perlunya simpanan kewangan yang kukuh.

“Melalui forum ini kita mahu dedahkan peserta mengenai bantuan kewangan termasuklah pelbagai bentuk sokongan kewangan oleh kerajaan melalui pelbagai dana diwujudkan untuk membantu syarikat terutamanya PKS,” katanya yang juga moderator bagi forum tersebut.

Mohamad Hardee pada masa sama turut meminta usahawan untuk mengambil peluang mempertingkatkan perniagaan dalam talian seiring dengan peredaran semasa.

“Kita melihat perniagaan dalam talian ini satu kemestiaan yang perlu difokuskan oleh usahawan berikutan perkembangan pesat sektor itu selepas pandemik lalu. Mahu atau tidak, usahawan mesti berusaha ke arah itu,” katanya.

Firdaos, Mohamad Hardee

Firdaos, Mohamad Hardee

Sementara itu, salah seorang panel, Firdaos semasa dalam forum berkenaan menyentuh tentang perlunya kerajaan memfokuskan kepada aspek kebolehjangkaan.

Katanya, elemen itu penting bagi sektor PKS berikutan kedudukannya yang agak rapuh dalam mendepani cabaran ekonomi yang tidak menentu.

“Pakar-pakar ekonomi sukar untuk membuat jangkaan terhadap ekonomi negara berikutan kita masih tidak tahu negara berada di fasa mana, adakah kita masih dalma pemulihan atau sekarang ini sudah memasuki pusingan perniagaan. Ini kena jelas.

“Jadi, aspek kebolehjangkaan ini penting kepada PKS. Apa yang perlu kerajaan lakukan adalah membei sebanyak mungkin aspek kebolehjangkaan itu kerana kita kena sedar bahawa PKS ini sangat rapuh,” katanya.

Dalam pada itu, seorang peserta yang ditemui, Nabila Suhairy berkata, penyertaan dalam program berkenaan memberi manfaat baginya sebagai persediaan berdepan dengan cabaran perniagaan pada masa akan datang.

Nabila yang juga pengasas Syarikat Al Jazeera berkata, produk aiskrim yang diusahakannya turut berdepan dengan cabaran tersendiri dan selaku usahawan yang baharu bertapak ilmu bermanfaat seperi itu amat diperlukan.

“Bagi saya forum sebegini sangat baik untuk didedahkan kepada usahawan seperti saya dan diharap ia diteruskan lagi pada masa-masa akan datang,” katanya.

SME Bank Xcess yang mula diperkenal sejak 2016 itu diadakan bagi membolehkan bank berkenaan memainkan peranan sebagai peneraju dalam penciptaan nilai ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang melangkaui perkhidmatan pembiayaan.

Antara kelainan yang dibawa pada edisi kali ini yang berlangsung dua hari mulai 21 September itu ialah, SME Bank membawa sebanyak 24 pembeli daripada negara-negara ASEAN dan juga India yang akan menghubungkan usahawan tempatan dengan pasaran luar.

Sumber