Perodua catat pengeluaran tertinggi – Sinar Harian

Perodua catat pengeluaran tertinggi – Sinar Harian

PENGELUARAN dan jualan Perodua kekal kukuh apabila mencatatkan rekod tertinggi pengeluaran iaitu sebanyak 33,666 unit kenderaan manakala divisyen jualannya pula mencatatkan pendaftaran sebanyak 32,179 unit kenderaan pada Mac tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, momentum pengeluaran berkenaan meningkat sebanyak 33.9 peratus kepada 84,800 unit berbanding 63,325 unit yang dikeluarkan pada suku yang sama tahun 2022.

Menurutnya, bagi aspek jualan, pendaftaran meningkat sebanyak 27.5 peratus kepada 78,564 unit dalam tempoh tiga bulan pertama 2023 berbanding 61,624 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Pada asas bulanan, Perodua merekodkan peningkatan sebanyak 20.2 peratus kepada 32,179 unit berbanding 26,759 unit yang dijual pada Mac tahun lalu.

“Jumlah itu juga meningkat sebanyak 29 peratus berbanding 24,936 unit yang dijual pada Februari tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelasnya, di sebalik pencapaian berkenaan, terdapat sejumlah kecil tempahan Penjana yang tidak dapat dipenuhi kepada pelanggan yang terlibat.

“Kami akan meneruskan jumlah pengecualian jualan sebagaimana yang dijanjikan di bawah inisiatif terbabit. Kami juga memohon maaf di atas tempoh menunggu yang lama,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, prestasi Perodua dijangka terus meningkat di masa hadapan memandangkan jumlah tempahan bagi model keluarannya terus kukuh.

Beliau berkata, pertumbuhan pengeluaran yang berterusan berjaya mengurangkan tempoh menunggu untuk beberapa model tertentu.

“Malah, bagi sesetengah model kami, tempoh menunggu telah berkurangan dengan signifikan, hanya beberapa model seperti Bezza, Axia dan Alza yang mempunyai tempoh menunggu yang lebih panjang, bergantung kepada pilihan varian dan warna.

“Bagi aspek pengeluaran pula penurunan harga bahan mentah di peringkat global baru-baru ini telah memberikan kelegaan kepada pembekal, Perodua serta kebanyakan pemain industri automotif,” ujarnya.

Tambahnya lagi, situasi ini memberi kelebihan dengan menyiapkan stok kenderaan lebih cepat dan dalam masa yang sama mengurangkan tempoh menunggu pelanggan kami.

Pada hujung Januari lalu, Perodua mengumumkan sasaran pengeluarannya sebanyak 330,000 kereta dan sasaran jualan sebanyak 314,000 kereta pada tahun 2023.

Sumber