Permintaan minyak sawit 2023 dijangka melonjak 19.85 juta tan

Permintaan minyak sawit 2023 dijangka melonjak 19.85 juta tan

PERMINTAAN terhadap minyak sawit Malaysia djangka melonjak kepada 19.85 juta tan tahun ini berbanding 19.01 juta tan yang disaksikan semasa 2022 berikutan eksport dijangka menokok kepada 16.44 juta tan daripada 15.73 juta tan sebelum ini.

Baki permintaan dijangka datang daripada domestik (2.98 juta tan) serta penggunaan bagi pengeluaran biodiesel (440,000 tan), kata Presiden Persatuan Pengeluar Minyak Sayuran India Sudhakar Desai.

Lonjakan dalam permintaan ini kebanyakannya datang dari India termasuk peralihan permintaan minyak sawit dari Indonesia ke Malaysia disebabkan sekatan eksport negara tersebut, yang mana, ini akan membantu meningkatkan permintaan dan mengurangkan stok sedia ada di Malaysia.

Malaysia diramalkan mempunyai 4.33 juta tan stok pada penghujung 2023, lebih tinggi berbanding 4.22 juta tan pada tahun lepas, manakala pengeluaran keseluruhan dijangka berkembang sederhana sebanyak 2.6 peratus kepada 18.95 juta tan tahun ini.

“Ia bukan pertumbuhan yang besar. Pengeluaran masih tidak stabil di Malaysia,” katanya semasa webinar minyak sawit UOB Kay Hian hari ini.

Gabungan penghasilan Malaysia-Indonesia diunjurkan mencecah 68.72 juta tan pada 2023, dengan eksport sebanyak 44.63 juta tan.

Indonesia membekalkan 57.09 juta tan minyak sawit kepada angka keseluruhan pengeluaran.

Sudhakar berkata India, pengguna minyak sawit kedua terbesar, diunjur mengimport 14.37 juta serta minyak sayuran pada 2022/2023, yang mana, 9.3 juta tan adalah minyak sawit, 3.01 juta tan adalah minyak kacang soya dan 2.01 juta tan adalah minyak bunga matahari.

“Seperti negara lain, India perlu mengambil stok apabila terdapat penurunan harga yang mendadak. Bagi saya, ia kelihatan seperti permintaan terhadap minyak sayuran telah memulih,” katanya.

Tambah beliau, harga minyak sawit telah turun daripada paras kemuncak April 2022 dan berlegar pada paras semasa iaitu lebih RM4,200 satu tan.

Harga minyak kacang soya pula menurun sebanyak 37 peratus dan harga minyak bunga matahari telah menyusut 43 peratus.

Pada skala global, pengeluaran minyak sawit dijangka mencecah 79.22 juta pada 2022/2023, aliran menaik 10 peratus daripada 2021/2022. Sebaliknya, permintaan global terhadap kacang soya adalah lebih rendah sebanyak 0.3 peratus kepada 60.19 juta tan.

Pengeluaran minyak sawit global dianggarkan berkembang 4.81 peratus kepada 78.12 juta tan, manakala kacang soya bertambah 2.82 peratus kepada 60.61 juta tan. – Bernama

Sumber