Perluaskan My #QuranTime kepada remaja

Perluaskan My #QuranTime kepada remaja

KUALA TERENGGANU – Penganjuran program My #QuranTime wajar diteruskan pada masa akan datang dengan cadangan tumpuan diberikan kepada versi remaja dan kanak-kanak bagi tujuan pengisian rohani golongan tersebut.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Rumah Ngaji Negeri Terengganu, Najib Ibrahim berkata, program berkenaan harus diperkasakan kerana ia mampu memberi pencerahan lebih jelas dan mendalam tentang surah dalam al-Quran.

“My #QuranTime berbeza dengan pengajian Quran lain yang mungkin hanya memfokuskan kepada tajwid dan tafsir berbanding program ini menekankan kepada kefahaman dan tindakan perlu dibuat berpandukan ayat al-Quran.

“Ia berkonsepkan taddabur iaitu berfikir secara mendalam apa mesej ALLAH dan tazakkur iaitu kesedaran serta tindakan yang perlu diambil berpandukan tadabbur,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Rabu.

Secara peribadi menurutnya, minat beliau terhadap My #QuranTime timbul berikutan pencerahan surah yang dibuat boleh membuatkan penonton memahami mesej dan inti pati terkandung dalam al-Quran untuk diambil pengajaran untuk kehidupan seharian.

Najib berkata, ulasan diberikan panel My #QuranTime juga sangat relevan dengan isu dan situasi semasa sekali gus membantu menaikkan motivasi beliau untuk terus mempelajari serta memahami al-Quran sebagai panduan hidup.

“Oleh itu, saya sentiasa mengikuti My #QuranTime dengan memasukkan waktu siaran dalam jadual selain turut mengingatkan kepada kakitangan untuk mengikutinya supaya sama-sama mendapat manfaat.

“Namun sebagai usahawan yang mempunyai jadual dan aktiviti tidak tetap, agar sukar untuk mengikuti program secara langsung jadi sekiranya tertinggal akan ikuti siaran ulangan di Facebook atau Youtube,” katanya.

Mengulas mengenai Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime yang akan berlangsung pada 8 Oktober depan, beliau berpendapat program itu boleh menyemarakkan lagi kempen mengqurankan bangsa mengikhlaskan ummah.

Jelas beliau, ia boleh menjadi pemangkin, pembuka jalan dan mampu membuka mata masyarakat bahawa al-Quran sangat dekat serta praktikal untuk dijadikan panduan dalam kehidupan.

“My #QuranTime hanyalah wasilah dan platform yang dapat memudahkan lagi usaha membudayakan al-Quran dalam masyarakat, apa pun ia memerlukan barisan penggerak yang mampu turun ke setiap lapisan masyarakat dari segenap aspek kehidupan, politik, sosial dan ekonomi.

“Selain itu, penerbitan buku My #QuranTime bagi bahan rujukan juga sangat penting kerana ia memudahkan para pendengar yang mengikuti program ini merujuk kembali apa-apa yang telah dikongsikan dalam My #QuranTime,” katanya.

Sumber