Penerimaan Anugerah Elly Mazlein ‘SAYAP’, Malaysia Book of Records

Penerimaan Anugerah Elly Mazlein ‘SAYAP’, Malaysia Book of Records

Artis Versatil Malaysia Naungan Rocketfuel Entertainment Merupakan Artis Pertama Mempunyai Saluran Pop-Up Eksklusif

Dengan single terbarunya, “SAYAP“, yang dikeluarkan oleh Rocketfuel Entertainment, label muzik tempatan yang berpengaruh, Elly Mazlein, artis Malaysia yang serba boleh, kembali ke puncak populariti selepas hampir 17 tahun. Peminat setia Elly Mazlein juga mencipta sejarah bersamanya apabila mereka dapat menonton muzik video “SAYAP” di saluran khas Elly Mazlein pada 12 tengah malam, 25 Januari 2024 dan 26 Januari 2024.

Elly Mazlein merupakan artis pertama naungan Rocketfuel Entertainment yang berjaya memecahkan rekod ‘Longest Non-Stop Music Video Launching on A Pop-Up TV Channel’ atau Pelancaran video muzik tanpa henti terpanjang di saluran TV Pop-Up!

Elly Mazlein turut menyatakan keterujaannya mendapat  penganugerahan  istimewa ini. “Saya sangat gembira dan berterima kasih atas pengiktirafan yang diberikan dan  turut bersyukur dan berbangga kerana dengan anugerah ini memberikan saya semangat yang lebih tinggi dalam menjayakan kelahiran ‘SAYAP’ sebagai buah tangan terbaru di permulaan tahun 2024 ini”.

Selama tempoh bersiaran selama 48 jam baru-baru ini, peminat Elly Mazlein dapat meneroka dunia seni nyanyian Elly Mazlein dengan pelbagai pengisian menarik termasuk video muzik ‘SAYAP’, temu bual eksklusif dan momen-momen di sebalik pembikiran muzik video. Format unik ini ditampilkan untuk memberi pendekatan baharu yang lebih interaktif dan menggembirakan kepada peminat agar lebih mendekati dan meraikan kemunculan semula Elly Mazlein di pentas muzik tempatan.

Bagi pihak Malaysia Book of Records, “Kami mengucapkan tahniah kepada Rocketfuel Entertainment selaku pihak syarikat rakaman bagi Elly Mazlein atas pencapaian ini dan kami berharap untuk terus mengiktiraf lebih banyak pencipta rekod tempatan untuk sebarang pencapaian seperti ini.”

Lagu ‘SAYAP’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan melalui kesemua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian pilihan utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. Manakala untuk anda yang ingin menonton video muzik ‘SAYAP’, ianya boleh ditonton di saluran YouTube Rocketfuel Network.