Pemimpin politik tertarik dengan tema Malaysia #QuranHour 2023

Pemimpin politik tertarik dengan tema Malaysia #QuranHour 2023

SHAH ALAM – Tema Malaysia #QuranHour 2023 menjadi tarikan buat pemimpin politik untuk menyertai program berkenaan kerana ia membicarakan tentang pemimpin dan pemuda dalam membentuk sebuah negara dengan berlandaskan ajaran Islam.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, tema program berkenaan ibarat satu panggilan kepada semua pemimpin muda untuk bersama-sama menghayati ayat al-Quran yang disampaikan.

“Saya mengambil peluang ini untuk turut serta kerana mahu memahami dan menerapkan inti pati ayat dalam diri bukan sahaja dalam pembentukan kewibawaan seorang pemimpin tetapi juga peribadi.

“Bukan itu sahaja, saya merasakan bahawa semua orang tidak kira latar belakang, warna kulit dan agama untuk mengikuti program ini kerana banyak nilai murni yang boleh dipelajari dalam melahirkan sebuah masyarakat harmoni,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan tema Malaysia #QuranHour 2023 iaitu ‘Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar’ akan mengangkat tiga surah pilihan iaitu Al-Fatihah, Al-Insan dan Al-Asr, bakal berlangsung di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 30 Ogos depan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, penganjuran Malaysia #QuranHour dapat membina semula perpaduan dengan berlandaskan ajaran daripada kitab suci al-Quran.

“Sekarang ini ramai masyarakat Melayu Islam tidak faham maksud ayat al-Quran. Sebagai contoh, kita baca kitab suci itu tetapi tidak faham apa yang disampaikan.

“Islam menganjurkan perpaduan dan penyatuan, namun berbeza dengan situasi kini yang mana kita berhadapan dengan banyak perpecahan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berharap agar golongan muda turut sama menyemarakkan program itu.

Menurut Penolong Setiausaha Agung Pas, Syahir Sulaiman, tema Malaysia #QuranHour bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan 2023.

Katanya, menerusi tadabbur al-Quran, nilai perjuangan kemerdekaan generasi terdahulu dapat difahami.

“Justeru, saya ingin mengajak anak muda untuk turut bersama-sama mengikuti program ini kerana banyak nilai dan resipi kejayaan pembangunan negara terdahulu dapat dipelajari dan secara tidak langsung, boleh membina sebuah negara bertamadun dengan ajaran Islam,” ujarnya.

Antara pemimpin politik yang bakal turut serta ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dan ADUN lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet.

Sumber