PELANCARAN PROGRAM #SAMASAMAKENYANG OLEH DAPUR PASAK & PUTRA AMARIS – INFAQ RAMADAN

PELANCARAN PROGRAM #SAMASAMAKENYANG OLEH DAPUR PASAK & PUTRA AMARIS – INFAQ RAMADAN

Pelancaran Dapur Pasak & Putra Amaris telah memulakan gerak kerja membantu golongan yang memerlukan sehubungan dengan pelancaran dan sidang media #samasamakenyang yang berlangsung di Eastin Hotel pada 14 Mac yang lalu.

Program ini turut mendapat sokongan penuh oleh YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim, Menteri Wilayah Persekutuan.

“Saya menyokong usaha-usaha yang dibuat oleh Dapur Pasak dan juga Putra Amari dalam membantu 2000 golongan asnaf di semua kawasan dalam Kuala Lumpur.” kata Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Program ini menyasarkan bantuan kepada 2000 orang golongan sasar antaranya Asnaf, Anak Yatim, OKU, Gelandangan, Anak Tahfiz dan golongan B40.

Harapan dari Program Infaq Ramadan ini adalah untuk meringankan beban mereka yang sedang menempuhi ujian kehidupan dan berharap agar dapat membantu mereka mengharungi kejatuhan dan kesulitan yang berlaku.

Antara aktiviti lain yang diwujudkan adalah Majlis Berbuka Puasa bersama Golongan Asnaf & Anak Yatim, Majlis Berbuka Puasa bersama OKU, Sahur & Berbuka Puasa bersama Gelandangan, Sumbangan kepada Anak-anak Tahfiz, Sumbangan Bakul Makanan kepada Golongan B40 dan Program masak dan agihan bubur lambuk kepada penduduk setempat serta Program Rumah Baru. Aktiviti ini akan disusun dan dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan ini.

Berikutan program utama ini, mereka sendiri akan pergi terus ke rumah-rumah asnaf dan golongan yang memerlukan serta memenuhkan peri ais mereka dengan ikan, ayam, sayur-sayuran, buah-buahan, air, pek makanan segera dan banyak lagi. Barangan keperluan asas seperti beras dan telur juga turut dibekalkan kepada mereka yang memerlukan.

Sepanjang 30 hari bulan Ramadan ini, segala aktiviti ini akan diuruskan sendiri oleh para sukarelawan Dapur Pasak dan Team Putra Amaris sendiri.

Putra Amaris, Penganjur bersama program #samasamakenyang berkata ini adalah inisiatif bersama bagi membantu mereka yang memerlukan dan mengurangkan beban mereka didalam bulan Ramadan ini dan membantu mereka dalam mengharungi kehidupan seharian.

Tambah beliau, kerjasama dengan syarikat-syarikat korporat, badan bukan kerajaan dan orang ramai yang ingin menyumbang adalah sangat-sangat dialukan.

Akhir sekali, diharapkan hasil daripada program dan aktiviti ini dapat memberi impak dan kesan kepada orang ramai termasuklah penerima bantuan, sukarelawan, penyumbang dan mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.