PELAKSANAAN SKIM HARGA MAKSIMUM MUSIM PERAYAAN

PELAKSANAAN SKIM HARGA MAKSIMUM MUSIM PERAYAAN

Skim Harga Maksimum Hari Raya Puasa 2023 akan dilaksanakan mulai 15 April hingga 30 April 2023, dan akan dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Tempoh pelaksanaan adalah selama 16 hari iaitu termasuk 2 hari semasa perayaan. Kementerian telah mengenal pasti sebanyak 30 jenis barangan yang akan dikawal di bawah Skim ini. Ini adalah termasuk 6 jenis barangan daripada kategori ayam dan telur di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam yang sedang berkuat kuasa sejak 5 Februari 2022.

Tempoh pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2023 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga. Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama. Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti faktor cuaca, ekonomi global, kadar tukaran wang asing, kadar upah dan permintaan serta penawaran.

SHMMP Hari Raya Puasa 2023 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat. Harga maksimum yang telah ditetapkan untuk SHMMP Hari Raya Puasa 2023 di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui website Kementerian Perdagangan Dalam Negeri 2 dan Kos Sara Hidup di https://www.kpdn.gov.my.

Pegawai-Pegawai Penguat Kuasa KPDN akan ditugaskan di lokasilokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan. Strategi ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan di mana tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna dan tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga sekiranya berlaku ketidakpatuhan.

Kementerian sentiasa menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan Skim.

Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya. Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini. Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti berikut:

(i) Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum:

(a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan

(b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000;

(ii) kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal:

(a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000; dan (b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM 10,000.00

Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada Kementerian melalui:

  • Whatsapp ke 019- 279 4317 / 019-848 8000
  • Portal Aduan: e-aduan.kpdn.gov.my
  • Pusat Panggilan 1800 886 800
  • E-mel e-aduan@kpdn.gov.my
  • Aplikasi telefon pintar Ez ADU
  • Pusat Arahan Penguat Kuasa (ECC) 03-8882 6245 / 6088