Pasaran getah ditutup tinggi – Sinar Harian

Pasaran getah ditutup tinggi – Sinar Harian

PASARAN getah Malaysia mengakhiri penurunan sebelum ini dan ditutup tinggi hari ini, disokong oleh peningkatan harga minyak mentah, kata seorang peniaga.

Beliau berkata, sentimen pasaran turut dirangsang oleh data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang berdaya tahan.

“Namun begitu, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh petunjuk bercampur-campur daripada pasaran niaga hadapan getah serantau,” katanya.

Menurut peniaga itu, harga minyak meningkat pada Jumaat berikutan kebimbangan larangan Rusia terhadap eksport bahan api yang boleh mengurangkan bekalan global mengatasi kebimbangan kenaikan kadar faedah AS yang selanjutnya boleh menjejaskan permintaan.

Sementara itu, beliau berkata, Jabatan Buruh AS melaporkan bahawa bilangan rakyat Amerika yang memfailkan tuntutan baharu untuk faedah pengangguran secara tidak dijangka turun sebanyak 20,000 kepada 201,000 bagi minggu berakhir 16 Sept.

“Jabatan Perdagangan melaporkan bahawa defisit akaun semasa AS mengecil secara mendadak pada suku kedua apabila lebihan perkhidmatan dan pendapatan utama mengimbangi kekurangan barangan,” katanya.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) naik 6.5 sen kepada 657.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal menokok 2.0 sen kepada 485.0 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk getah fizikal SMR 20 berada pada 659.5 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 486.0 sen sekilogram. – Bernama

Sumber