Pasaran getah ditutup rendah, prestasi serantau turut lemah

Pasaran getah ditutup rendah, prestasi serantau turut lemah

PASARAN getah Malaysia ditutup rendah hari ini, diseret turun oleh kerugian yang dialami dalam harga minyak mentah dan pasaran niaga hadapan getah serantau di tengah-tengah keadaan aktiviti kilang yang lebih lemah di Asia, khususnya China.

Menurut seorang peniaga, harga minyak merosot pada hari Isnin apabila data pembuatan yang lemah dari China dan Jepun untuk bulan Julai telah menjejaskan prospek permintaan, manakala pelabur pula telah bersedia untuk berhadapan dengan mesyuarat para pegawai dari Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) mengenai pelarasan bekalan.

“Namun begitu, kerugian selanjutnya berjaya dihadkan oleh nilai ringgit yang lebih lemah sedikit berbanding dolar AS dan keadaan yang memberangsangkan di beberapa bahagian Asia Tenggara,” katanya.

Beliau juga berkata, peserta pasaran dijangka memantau data pekerjaan bulanan AS pada minggu ini sebagai pencetus penting bagi ekonomi AS.

Sementara itu, berbanding penutup Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) turun 10.0 sen kepada 668.5 sen sekilogram (kg) manakala lateks pukal susut 3.0 sen kepada 527.5 sen sekg.


Pada jam 5 petang, harga penutup LGM untuk SMR 20 berada pada paras 669.5 sen sekg manakala lateks pukal pada 527.0 sen sekg. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber