PASANGAN kembar seiras antara hafiz (bagi kategori juzuk 1 hingga 10) mencuri tumpuan ramai pada Majlis Tilawah/Hafazan Al-Quran dan Karnival Rahmah Peringkat Wilayah Persekutuan 2019 kelmarin.
Muhammad Fahmi Bukhari dan adiknya, Muhammad Fahri yang merupakan pelajar tingkatan 4 terpilih menjadi peserta pertama dan terakhir pada pertandingan itu. Kedua-duanya ialah pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencheh, Negeri Sembilan.
Menurut Muhammad Fahmi, beliau dan kembarnya menyertai pertandingan itu selepas mendapat dorongan gurunya, Ustaz Muhammad Firdaus Bakrin dan ibu serta bapanya, Bukhari Abd Rahman dan Fauziah Sh Ahmad.
“Ini kali pertama saya sertai pertandingan hafazan. Rasa agak teruja bila permohonan kami diterima untuk memasuki pertandingan ini.
“Apa jua keputusan pertandingan ini, saya terima dengan hati terbuka,” katanya yang mula menghafaz al-Quran sejak dari sekolah rendah lagi.
Bagi Muhammad Fahri, meskipun terpaksa bersaing bersama abang kembarnya sendiri, dia menganggap ia satu rezeki.
“Ini bukan kali pertama saya sertai pertandingan hafazan. Sebelum ini, saya pernah terlibat dalam acara sama di Negeri Sembilan. Cuma kali ini rasa agak lain sebab saya dan kembar saya terpaksa bersaing bersama.
“Saya berharap agar salah seorang dari kami akan menang. Jika kalah sekalipun, kami akan jadikan pertandingan ini sebagai pemangkin untuk kami terus istiqamah dalam bidang hafazan dan menghabiskan 30 juzuk al-Quran,” katanya yang kini sudah menghafaz 22 juzuk al-Quran.
Pertandingan hafazan itu disertai 30 peserta berusia 7 hingga 25 tahun yang melibatkan tiga kategori berasingan, iaitu juzuk 1 hingga 10, 1 hingga 20 dan 1 hingga 30.