Pameran Artifak Rasulullah sasar 150,000 pengunjung

Pameran Artifak Rasulullah sasar 150,000 pengunjung

KUALA LUMPUR, 26 JULAI 2019 – Kira-kira 150,000 pengunjung dijangka hadir menyaksikan Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Sahabat RA di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang akan bermula 22 Julai ini hingga 4 Ogos depan.

Pameran anjuran sepenuhnya Manhajj Brothers Sdn. Bhd.(Manhajj Brothers) ini akan menampilkan lebih 70 artifak Rasululllah SAW, artifak Sahabat RA serta artifak kerajaan Uthmaniah.

Dato Adi Putra berkata, pameran ini akan memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat sendiri artifak yang turut menjadi rakaman sejarah kehidupan dan perjuangan Baginda.

Beliau berkata, pameran ini juga bermatlamat untuk memberi pendidikan, sumber inspirasi dan pengetahuan kepada pengunjung mengenai kegemilangan tamadun Islam.

“Antara artifak yang boleh dilihat ialah Rambut, Janggut, Darah’ Bekam, Serban, Tongkat, Bekas Air Zamzam, Pasir Makam Rasulullah SAW dan Kunci Makam tersebut.

“Artifak-artifak lain adalah seperti Pedang Muaz Bin Jabal, Pedang Sultan Al-Fatih, Kiswah Kaabah Merah, Kiswah Kaabah Hijau dan Kunci Makam Saiditina Fatimah.

“Turut dipamerkan artifak peninggalan Kerajaan Uthmaniah seperti Kunci, Baju Perang, Tandu, Al-Quran Emas, Kiswah Kaabah dan Kiswah Pintu Taubat di mana semua artifak ini merupakan koleksi dari Tanah Arab seperti Mekah dan Madinah serta negara Yemen dan Turki,” katanya dalam sidang media sempena perasmian pameran artifak di PWTC hari ini.

Adi Putra berkata, pameran tersebut mendapat sokongan penuh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad AI-Bakri.

Sementara itu, Adi Putra juga memberitahu bahawa Kuala Lumpur menjadi destinasi pilihan selepas beberapa negeri sebelum ini seperti di Johor dan Melaka.

“Tiket masuk hanya RM20 untuk dewasa, RM10 untuk mahasiswa dan RM5 untuk kanak- kanak serta pameran dibuka setiap hari mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam.

“Lebih menarik pameran ini menawarkan cabutan bertuah apabila pengunjung boleh membawa pulang hadiah utama iaitu motosikal Yamaha Y15.

“Cabutan itu diadakan menerusi peraduan ‘Ride To Y-Suku’ di mana pengunjung hanya perlu mengambil gambar di Photobooth rasmi Manhajj yang berharga RM15 bagi melayakkan mereka mendapat satu nombor bertuah,” katanya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *