NISB, SBI sasar lebih 10 hotel dalam tempoh tiga tahun

NISB, SBI sasar lebih 10 hotel dalam tempoh tiga tahun

SYARIKAT hospitaliti Malaysia, Nautical Insight Sdn BHD (NISB) dengan kerjasama Swiss-Belhotel International Limited (SBI) menyasarkan untuk menguruskan lebih 10 hotel sedia ada atau 2,000 bilik hotel di Malaysia dalam tempoh tiga tahun.

Pengarah Urusan NISB, Datuk Rosthman Ibrahim berkata, usaha sama dengan kumpulan hospitaliti terkenal Hong Kong itu bertujuan mengembangkan dan meningkatkan nilai hotel sedia ada di negara ini dengan perkhidmatan serta standard bertaraf antarabangsa.

Menurutnya, kedua-dua pihak bersetuju untuk membuka syarikat usaha sama baharu, Swiss-Belhotel International Malaysia Sdn Bhd dengan saham pemilikan masing-masing 50 peratus.

“Syarikat tersebut akan mengguna pakai kepakaran dan pemahaman NISB tentang permintaan hospitaliti Malaysia dan kepakaran SBI dalam pengurusan hotel global untuk menguruskan lebih 10 hotel sedia ada atau 2,000 bilik hotel di negara ini.

“Syarikat baharu ini akan diperbadankan dalam tempoh sebulan selepas sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Induk (HOA) antara NISB dengan SBI di Menara Kuala Lumpur pada Selasa.

Mengulas lanjut, Rosthman berkata, industri pelancongan dan hospitaliti terkenal dengan peranan pentingnya sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi global dalam memacu pembangunan sosio-ekonomi Malaysia.

Tambahnya, kerjasama itu turut bersedia untuk mengembangkan pasaran kerja dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia dalam industri perhotelan.

“Melalui usaha sama ini, NISB dan SBI meramalkan peningkatan yang luar biasa dalam unjuran pendapatan mereka dengan peningkatan nilai hartanah dan jenama hotel tempatan menjelang 2025,” katanya.

LaCrista Hotel Melaka yang dimiliki NISB bakal menjadi hotel pertama yang diletakkan di bawah pengurusan syarikat usaha sama tersebut.

Sementara itu, Pengerusi dan Presiden SBI, Gavin M Faull berkata, pihaknya berbesar hati atas jalinan kerjasama dengan NISB dalam menubuhkan sebuah syarikat pengurusan di Malaysia.

Jelasnya, syarikat itu kini memiliki kehadiran di 20 buah negara dan menguruskan portfolio lebih 125 hotel termasuk di China, Indonesia, Australia, Iraq, Bahrain, Arab Saudi dan Switzerland.

“Industri hospitaliti antara sektor yang menjadi asas kepada ekonomi di kebanyakan negara seluruh dunia, selain menyediakan peluang pekerjaan yang baik pada masa ini ketika banyak industri lain, misalnya pembuatan mengurangkan pengambilan pekerja.

“Kami melihat potensi pertumbuhan yang luar biasa untuk syarikat masing-masing dan akan mengejar peluang pembangunan di sini secara agresif,” tambahnya.

Kata beliau, SBI melihat potensi pertumbuhan luar biasa untuk syarikat di Malaysia dan mengejar peluang pembangunan di seluruh negara secara agresif.

“Bertumpu kepada pasaran pertumbuhan yang tinggi di Asia Tenggara, pengembangan kami didorong oleh kemampanan jangka masa panjang di samping mengukuhkan portfolio jenama kami yang pelbagai,” ujarnya.

Sumber