My Gaya Month 2023 platform kemajuan industri fesyen, gaya hidup

My Gaya Month 2023 platform kemajuan industri fesyen, gaya hidup

PAMERAN My Gaya Month 2023 (MGM 23) berjaya menyediakan platform kukuh bagi mempersembahkan produk dan jenama negara sekali gus memberikan sumbangan besar terhadap kemajuan industri fesyen serta gaya hidup di Malaysia.

Presiden Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA), Rasta Rashid berkata, menerusi acara berkenaan, seramai 31 pereka fesyen tampil menunjukkan penggayaan bebas dari penciptaan batik hingga pakaian jalanan yang terkini.

Menurutnya, setiap daripada mereka mempersembahkan lapan gaya berbeza, mempamerkan ketrampilan dan kemahiran seni asli Malaysia, namun keindahan, kreativiti dan kualiti ciptaan tidak dilupakan.

“Mereka dipilih secara khusus untuk memungkinkan kerjasama antara pemain utama industri, usahawan dan akademi.

“Peluang untuk keterangkuman dan kepelbagaian juga terbuka luas, yang mana pereka berjaya menghadapinya. Saya sangat berbangga dengan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Pameran MGM 23 diadakan di Kuala Lumpur selama sebulan bermula 24 Ogos hingga 25 September dengan kerjasama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) dan Kempen Beli Barang Malaysia (KBBM).

Dalam pada itu, menurut Pengasas MBDA, Bon Zainal, kaedah penjualan generasi milenium menggunakan media sosial sebagai platform, merupakan pertunjukan yang menarik dalam diri mereka ketika bersiaran langsung.

“Setiap tahun kita dapat melihat peningkatan tahap dan komitmen daripada pereka. Saya sangat gembira melihat mereka dengan penyertaan pereka baharu yang bergabung dengan kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, pertumbuhan pendapatan yang besar adalah bukti jelas tentang impak efektif acara berkenaan dalam meningkatkan penjualan dan keuntungan bagi rakan kerjasama.

Jumlah angka pendapatan secara keseluruhan adalah sebanyak RM802,254.30

Di samping itu, MGM 23 turut menyampaikan sembilan anugerah kepada individu dan organisasi dengan kecemerlangan terpuji serta semangat pembaharuan dalam membentuk industri berkenaan.

Antaranya ialah Anugerah Perintis Terbaik yang dimenangi Themelis.com.my, Anugerah Pereka Inklusif (Fluffy Fashion oleh Azhar Zainal), Anugerah Reka Bentuk Asli dan Inovasi (UiTM) dan Anugerah Pereka Paling Menjanjikan (Ilham Echenta).

Selain itu, Anugerah Fashionpreneur dimenangi oleh Kalima, Anugerah Khas (Curve oleh HHM), Anugerah Ahli MBDA (Izwani Salim), Anugerah Ahli Paling Berdedikasi MBDA (Tabizi Tahir) dan Anugerah Pereka (Thalia).

Sumber