Mufti Pahang seru umat Islam tingkatkan kefahaman al-Quran

Mufti Pahang seru umat Islam tingkatkan kefahaman al-Quran

PEKAN – Malaysia #QuranHour mampu membangkit kesedaran umat Islam untuk celik al-Quran dan usaha tersebut dapat dicapai dengan kerjasama pelbagai pihak dalam membawa gelombang al-Quran yang berkumpul dalam satu masa dari Malaysia ke seluruh dunia.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal itu mampu memperkasakan ummah dan ia adalah usaha dakwah yang amat baik.

Jelasnya, al-Quran bukan sekadar dibaca, tetapi ia disantuni oleh umat Islam dengan meningkatkan kefahaman al-Quran dari masa ke masa.

“Kempen #QuranHour mampu meningkatkan bilangan masyarakat untuk mengenali al-Quran sebagai panduan kehidupan. ALLAH SWT mengutuskan Rasulullah SAW untuk mengajarkan al-Quran. Kita sebagai Muslim bukan sekadar membaca, malah beriman dan beramal dengan kitab suci.

“Belajar dan mengajar al-Quran bukan tugas asatizah semata-mata. Banyak kelebihan orang yang dekat dengan al-Quran sebagai pemberi syafaat di akhirat,” katanya ketika menerima kunjungan wakil Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Pertubuhan Rumah Ngaji Pahang dan Sahabah Al-Quran di Jabatan Mufti Negeri Pahang pada 18 Ogos lalu.

Tambah Abdul Rahman, dengan membaca al-Quran dan bertadarus, ALLAH SWT menurunkan ketenangan dan rahmat kepada mereka.

ALLAH SWT berfirman, “Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab ALLAH (al-Quran) dan melaksanakan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepadanya dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka tidak mengharapkan perdagangan yang tidak akan rugi.” (Surah Fatir: 29)

Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kalian adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat Bukhari)

Abdul Rahman berkata, usaha dakwah dalam membawa al-Quran perlu berterusan untuk membangkitkan ummah.

Justeru beliau berharap, Malaysia #QuranHour sempena Hari Kebangsaan nanti dapat disertai oleh segenap lapisan masyarakat dan para pemimpin.

“Program tersebut memberi pendedahan kepada orang ramai yang beragama Islam dan bukan Islam mengenai al-Quran sebagai panduan dan solusi kehidupan. Hari ini, akhlak dalam kalangan masyarakat Islam tidak mencerminkan ajaran Islam sebenar.

“Umat Islam yang baik bermula di masjid. Orang yang selalu berjemaah di masjid dapat menampung kekurangan hidup di hatinya. Rasulullah SAW membina Madinah bermula dengan membangunkan masjid sebagai pusat pembangunan insan yang bertakwa dan perhubungan sesama manusia.”

ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya yang layak memakmurkan masjid ALLAH hanyalah orang-orang yang beriman kepada ALLAH dan hari kemudian serta (tetap) mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut apa pun) kecuali kepada ALLAH. Maka mudah-mudahan mereka termasuk dalam kalangan orang-orang yang mendapt petunjuk.” (Surah Al-Tawbah: 18)

Sehubungna itu beliau menyeru kepada pemimpin dan anak muda untuk mengimarahkan masjid melalui solat berjemaah.

“Untuk mengembangkan Islam, kita perlu berani bercakap. Mungkin ada yang beranggapan Malaysia sebagai negara majmuk, sehinggakan kita takut bercakap,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, pertemuan bersama Mufti Pahang bertujuan berkongsi misi ‘MengQurankan Bangsa Mengikhlaskan Ummah 1500H’ yang memasuki 10 tahun kedua bermula 2023 serta mendapatkan nasihat beliau dalam menggerakkan kempen tersebut.

“Kini WUIF memfokuskan kebangkitan ummah melalui kerjasama pakar dalam pelbagai bidang dan pasukan penyelidikan serta pembangunan WUIF. Pada 10 tahun pertama, kempen #QuranHour memfokuskan baca, faham dan amal bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap al-Quran.

“Pada 18 Mac 2020, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19 telah menyebabkan rakyat terkurung di rumah. Atas permintaan Jabatan Kefahaman Islam Malaysia (Jakim), WUIF menganjurkan program My #QuranTime yang bersiaran di TV AlHijrah sejam setiap hari sehingga hari ini,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia #QuranHour yang digerakkan sempena momentum Hari Kebangsaan pada 30 Ogos ini, mengajak seluruh masyarakat memahami intipati dan erti kemerdekaan dalam membangunkan sebuah negara yang aman, utuh dan progresif, melalui intervensi yang diformulasikan dari prinsip-prinsip al-Quran.

Bertemakan ‘Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar’, Surah Al-Insan, Surah Al-Fatihah dan Surah Al-Asr menjadi surah pilihan dan panduan dalam melahirkan golongan pemuda berkemahiran dalam membina projek pembangunan negara sekali gus melahirkan para pemimpin abrar.

Pengerusi Pertubuhan Rumah Ngaji Pahang, Ustaz Md Abdu Sahak dan Setiausahanya, Ustaz Mohd Rozamli Abdul Razak berkata, kunjungan mereka bersama delegasi bertujuan berkongsi pandangan untuk mengimarahkan al-Quran di Pahang.

Sehingga kini, sebanyak 32 Rumah Ngaji di negeri itu yang menjalankan pelbagai kempen #QuranHour anjuran WUIF, selain menganjurkan kelas ngaji kepada masyarakat setempat.

Orang ramai dijemput menyertai Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos ini yang diadakan serentak di seluruh negara dengan lokasi perdana di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, manakala lokasi utama di Pahang adalah Penjara Penor dan Masjid Jaya Gading, Kuantan.

Peserta yang ingin hadir di lokasi perdana boleh mendaftar di pautan http://bit.ly/KEHADIRANMQH atau boleh laksanakan di lokasi masing-masing dengan mendaftar Hotspot di https://bit.ly/HOTSPOTMQH2023.

Sumber