MR D.I.Y raih anugerah Syarikat Pengurusan Terbaik di Malaysia

MR D.I.Y raih anugerah Syarikat Pengurusan Terbaik di Malaysia

KUMPULAN MR D.I.Y. (M) Berhad (MR D.I.Y.) sekali lagi diiktiraf sebagai salah satu Syarikat Pengurusan Terbaik di Malaysia oleh penyedia perkhidmatan perundingan dan penasihatan kewangan global, Deloitte Private (Deloitte).

Anugerah diperkenalkan Deloitte itu untuk mengiktiraf syarikat milikan swasta dengan hasil tahunan melebihi AS$25 juta (RM104.81 juta) untuk kecemerlangan organisasi mereka serta sumbangan kepada industri masing-masing dan juga ekonomi negara.

Program tersebut menyediakan rangka kerja yang khusus untuk pasukan-pasukan pengurusan mencabar diri dan menetapkan tanda aras berbanding syarikat-syarikat swasta terbaik di dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MR D.I.Y., Adrian Ong berkata, MR D.I.Y berbesar hati kerana diiktiraf oleh Deloitte sebagai salah satu syarikat pengurusan terbaik di Malaysia, bukan sekali, tetapi dua kali.

Menurutnya, pelbagai cabaran telah dilalui dan ia bukan satu perkara yang mudah memandangkan persekitaran ekonomi global masih tidak menentu, MR D.I.Y perlu tangkas dan responsif.

“Pada bulan ini, kami meraikan pembukaan cawangan yang ke-1,000. Kami mempunyai 13,000 kakitangan yang kekal komited untuk menghasilkan pengalaman peruncitan inovatif, menyampaikan nilai yang hebat dan berkhidmat kepada komuniti untuk menghasilkan impak yang positif dalam kehidupan.

“Anugerah ini mewakili minat, komitmen dan kesetiaan para kakitangan dan rakan kongsi perniagaan kami. Saya amat berbesar hati untuk mendedikasikan anugerah ini kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Adrian turut mengucapkan terima kasih kepada Deloitte kerana membawakan anugerah tersebut ke Malaysia sekali gus memberi inspirasi kepada jenama-jenama Malaysia untuk berusaha mencapai piawaian global.

Program Anugerah Syarikat Pengurusan Terbaik Deloitte melibatkan penilaian yang terperinci ke atas syarikat-syarikat yang mengambil bahagian, menyemak strategi perniagaan, keupayaan dan inovasi, budaya dan komitmen, serta tadbir urus dan kewangan.

Proses penilaian anugerah tersebut dibuat berdasarkan amalan yang diteliti sejak lebih 29 tahun di 50 negara di seluruh dunia.

Anugerah Deloitte itu diterima selepas Kumpulan MR D.I.Y. dinobatkan sebagai Syarikat Terbaik Tahunan 2022 oleh Frost & Sullivan dalam Industri Peruncitan Perkakas Rumah Malaysia untuk kali kedua.

Pada 2020, Kumpulan MR D.I.Y. telah menerima Anugerah Kepimpinan Pasaran dan pada 2021 buat pertama kalinya, peruncit tersebut telah menerima Anugerah Syarikat Terbaik Tahunan.

Sumber