Minat syarikat China labur di Malaysia meningkat, petanda baik

Minat syarikat China labur di Malaysia meningkat, petanda baik

PENINGKATAN minat syarikat China terhadap Malaysia memberi petanda baik kepada negara dan telah meningkatkan lagi hubungan dua hala Malaysia-China, disokong oleh keyakinan terhadap Kerajaan Perpaduan negara, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Zafrul berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terus membantu memudahkan urusan pelabur untuk menjalankan perniagaan di negara ini bagi menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang sentiasa menyokong industri, perdagangan dan pelaburan.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada MIDA dan semua agensi berkaitan dalam membantu mendapatkan pelaburan berpotensi ini (bernilai RM170 bilion).

“Kini, MITI, MIDA dan agensi lain perlu mula bekerja keras untuk membuat susulan dan merealisasikan pelaburan ini dalam tempoh masa sesingkat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata, menerusi misi perdagangan dan pelaburan di China baru-baru ini lebih 20 syarikat telah menunjukkan minat serius untuk melabur dalam ekonomi Malaysia yang sedang berkembang pesat merangkumi bidang seperti produk petrokimia, produk solar dan kaca, pusat data antarabangsa dan bahagian-bahagian dan komponen kenderaan elektrik.

Antara syarikat yang menyatakan minat mendalam untuk melabur di Malaysia ialah Zhejiang Zhink Group, LONGi, GDS, Shanghai DC Science dan ZTE Corporation, yang kesemuanya mengakui potensi yang besar di Malaysia.

“Pencapaian ini menunjukkan komitmen kerajaan Malaysia untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi daripada pengguna teknologi digital utama dunia yang menempatkan satu pertiga daripada syarikat unicorn dunia,” kata Arham.

Pada 2022, Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan bernilai RM264.6 bilion (AS$59.9 bilion) dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer.

Daripada jumlah ini, RM55.4 bilion (AS$12.5 billion) disumbang oleh China melibatkan sejumlah 91 projek.

“Usaha niaga ini berpotensi mewujudkan 11,545 peluang pekerjaan baharu bagi tenaga kerja Malaysia yang sekali gus mengukuhkan lagi struktur ekonomi negara,” kata MIDA. – Bernama

Sumber