MESEJ POSITIF DI DALAM FASA

MESEJ POSITIF DI DALAM FASA

Gandingan hebat antara dua penyanyi tanahair iaitu Hazama dan Tuju telah mendapat perhatian pendengar dengan single terbaharu berjudul FASA. Menarik tentang gandingan ini adalah mereka mempunyai genre muzik yang berbeza dan sudah semestinya membuatkan pendengar dan peminat teruja untuk mendengar hasil karya kerjasama mereka.

Setelah sekian lama tidak mengeluarkan album, FASA merupakan single pertama setelah sekian lama. Menurut Hazama, pandemik Covid-19 benar-benar menguji semua orang. Sebagai anak seni, Hazama juga tidak terkecuali. Tambahnya lagi, dia berjaya bertahan dan cekal kerana percaya segala kejadian yang berlaku ada hikmahnya. Berkenaan dengan single FASA ini, single ini sarat dengan mesej positif untuk memberi semangat kepada semua. Hal ini kerana, semua orang mempunyai FASA yang tersendiri yang perlu ditempuhi.

Tuju atau nama sebenarnya Muhammad Azree Shah yang merupakan artis gandingan Hazama untuk single FASA, juga merupakan ahli anggota kumpulan K-Clique yang kini kian mendapat perhatian daripada pendengar. Paduan suara dua artis ini cukup serasi dan sesuai dengan konsep lagu ini. Firdaus Rahmat, Fahimi Rahmat dan Tuju merupakan pencipta dan penulis lirik untuk lagu FASA.

Drama Samarinda : Suamiku Lelaki Pendosa yang disiarkan bermula setiap hari Isnin sehingga Khamis jam 10 malam bermula 9 Februari 2022 yang menjadikan lagu FASA sebagai runut bunyi (OST) untuk drama tersebut. Pelakon utama drama tersebut ialah Dato’ Aaron Aziz, Sophia Al Barakbah, Shima Annuar, Fauzi Nawawi dan Gambit Saifullah.

Berkisahkan tentang seorang gadis bernama Cahaya Malaika yang hidupnya bertukar dalam sekelip mata apabila keluarga bekas tunangnya memutuskan pertunangan mereka selepas identitinya terbongkar. Dihina sebagai anak tidak sah taraf, kehidupan Cahaya Malaika berubah menjadi tidak tertentu selepas peristiwa itu.

Peminat boleh menyaksikan video lirik single FASA nyanyian Hazama ft. Tuju di Youtube Alternate Records & Talents pada 9 Februari 2022.