Medan cendekiawan, intelektual kongsi pandangan satu pentas

Medan cendekiawan, intelektual kongsi pandangan satu pentas

SEPANG – Penganjuran World #QuranConvention (WQC) 2023 menjadi medan untuk para cendekiawan dan intelektual berkumpul bagi menggali al-Quran lebih dalam untuk dijadikan sebagai panduan hidup sebenar.

Membahasakan mengenai ‘Serve To Be Served: A Divine Guidance From Surah Al-Insan’ WQC 2023 membariskan cendekiawan dari seluruh pelosok dunia bagi berkongsi pandangan dan saranan.


MARHAINI. - FOTO SINAR HARIAN/ MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

MARHAINI. – FOTO SINAR HARIAN/ MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, program berasaskan al-Quran bertaraf antarabangsa yang buat julung kali diadakan itu disifatkan amat signifikan penganjurannya, apatah lagi ia mendapat perhatian daripada golongan berkenaan.

“Alhamdulillah memang tujuan program ini adalah kita mahu mengumpulkan sebanyak mungkin golongan ini dalam satu majlis dan pemilihan Surah Al-Insan memang kita hendak mendengar perbahasan dan perinciannya daripada cendekiawan dari seluruh dunia.

“Sebab masing-masing mempunyai sudut pandangan yang mungkin orang lain tidak nampak, jadi mungkin cendekiawan dari Amerika Syarikat dia nampak sudut lain, United Kingdom pula sudut begini, Indonesia dan Malaysia pula ada sudut pandang mereka, jadi inilah keindahan berkongsi pandangan, kita kumpulkan ilmu-ilmu yang ada ini dan berkongsi,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Majlis yang berlangsung di Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen KLIA itu menampilkan penceramah jemputan antaranya Ustaz Nouman Ali Khan dari Amerika Syarikat sebagai Pengarah World #QuranConvention 2023; Imam Besar Masjid Istiqlal, Profesor Dr KH Nasaruddin Umar; Pengasas Ibn Ashur Centre, Dr Sohaib Hussein; Pengarah Institut Islam Pembangunan dan Penyelidikan (IIDR) Sharif Hasan Al Banna serta Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Amanie Group, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.

Turut bersama ialah Imam dari Palestin Shaykh Rami As-Sousi; DPhil Scholar, The Centre for Muslim-Christian Studies, University of Oxford Saqib Hussain; Dr Abdul Munim Sombat Jitmoud dari Thailand; Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhas (WUI), Fazrul Ismail; Pengasas Durioo Sinan Ismail; Qari dari Syria Shahykh Asem Abdul Karim Othman; Qari dari Pakistan Shaykh Asfandyar Dilawar dan Penasihat Media dan Usahawan dari Turkey Ibrahim Eren selain qari #MyQuranTime Tirmizi Ali.

Antara topik perbincangan pada majlis berkenaan ialah ‘Studying the Quran: Yesterday, Today and Tomorrow, Surah Al-Insan Part 1 (Humility and Grattitude), ‘Revealed Wisdom and Creative Media’, Surah Al-Insan Part 2 ‘The Spirit Of Giving’, ‘Serve To Be Served: Individual and Family’ and ‘Serve To Be Served: Organization and Nation’.


Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan hadir ke WQC 2023.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan hadir ke WQC 2023.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli ke konvensyen sehari anjuran Yayasan Warisan Ummah (WUIF) dan Bayyinah Institute itu dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Dianggarkan seramai 1,800 peserta berkumpul di Movenpick. Penyertaan melibatkan peserta dari Australia, Belgium, Brunei, Kanada, Jerman, Perancis, Indonesia, India, Mesir, Indonesia, Singapura, Filipina, Amerika Syarikat, Uzbekistan, Nigeria dan Palestin.


Antara reaksi peserta yang hadir pada pagi ini di Dewan Mentari 1, Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA Sepang.

Antara reaksi peserta yang hadir pada pagi ini di Dewan Mentari 1, Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA Sepang.

Peserta yang terdiri daripada individu, keluarga, organisasi, badan bukan kerajaan, ilmuwan,dan profesional diharapkan dapat memanfaatkan ilmu dan maklumat yang diterima, seterusnya memperkasakan industri hospitaliti dan meningkatkan sektor ekonomi negara secara langsung.

Dalam pada itu katanya, pada tahun ini, Surah Al-Insan yang menjadi surah pilihan bagi kempen #QuranHour untuk mengajak masyarakat untuk menerapkan nilai kemanusiaan dan berkhidmat kepada sesama makhluk di dunia.

“Ia juga menghilangkan ego dan kepentingan diri agar insan dan keinsanan terbela. Inilah nilai yang ingin dibumikan dalam World #QuranConvention 2023.

“Kebanyakan umat Islam yang masih melihat al-Quran dan kehidupan seperti terpisah jauh.

“Ini menyebabkan masalah yang berlaku dalam masyarakat Islam semakin parah dan tertekan dengan pelbagai cabaran hidup, jika tidak disuluh dengan al-Quran dan Hadis,” katanya.

World #QuranConvention mendapat sokongan daripada rakan media, Sinar Karangkraf dan Nu Ideaktiv dan rakan strategik, Karya Bestari, Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Tourism Selangor, International Islamic University of Malaysia (IIUM) dan pengacara acara, TickTalk.

Sementara itu, pihak penaja yang terlibat adalah Wardah dan Kahf, Yayasan Pendidikan MAIDAM, Islamic Tourism Centre, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Fraser Valley, Kumpulan MFDM Holdings, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dan syarikat penerbangan rasmi, Malaysia Aviation Group.

Sumber