MBSB catat untung RM716.9 juta

MBSB catat untung RM716.9 juta

MALAYSIA Building Society Berhad (MBSB) mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM716.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 iaitu peningkatan sebanyak 11.6 peratus berbanding pencapaian yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Untung sebelum cukai pada tahun kewangan berakhir Disember 2019 ialah RM897.43 juta dipacu oleh pendapatan perbendaharaan lebih tinggi hasil pelaburan kewangan yang turut menyumbang RM3.01 bilion dan kenaikan 5.21 peratus dari tahun sebelumnya.

Aset meningkat hingga RM50.71 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 daripada RM45.43 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

Kedudukan modal kumpulan tetap kukuh, melaporkan Nisbah Common Equity Tier 1 (CET1) lebih tinggi pada 19.1 peratus untuk tahun kewangan berakhir Disember 2019.

Kos nisbah pendapatan (CIR) meningkat pada tahun 2019 kepada 28.37 peratus berbanding 29.53 peratus pada tahun sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman menyampaikan prestasi kewangan MBSB kepada pemegang sahamnya dari Wisma MBSB di Kuala Lumpur menerusi penstriman video.

Hadir sama, Pengerusi MBSB, Tan Sri Abdul Halim Ali dan Ketua Pegawai Kewangan, Tang Yow Sai.

Beliau berkata, MBSB berjaya bertahan walaupun pertumbuhan ekonomi lemah.

“Kami memahami persekitaran akan terus menjadi sangat mencabar, namun kami akan tetap fokus kepada rancangan kami yang disemak semula akibat koronavirus (Covi-19).

“MBSB mencadangkan Single-Tier Final Dividend sebanyak tiga sen setiap saham biasa untuk Tahun Kewangan Berakhir 2019,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bank telah melancarkan inisiatif digitalnya seperti aplikasi perbankan mudah alih, pembukaan akaun dalam talian dan e-wallet tahun ini.

“MBSB akan mengoptimumkan portfolio pelaburannya dengan membina keupayaan transaksi untuk meningkatkan pendapatan yuran.

“Kami juga memfokuskan kepada penggunaan teknologi serta mempercepatkan usaha untuk membangunkan perniagaan baharu dan kemampuan operasi melalui automasi,” katanya.



Sumber