Maybank lancar Rangka Kerja Produk Mampan

Maybank lancar Rangka Kerja Produk Mampan

MALAYAN Banking Bhd (Maybank) telah mereka bentuk Rangka Kerja Produk Mampannya (SPF) – yang pertama seumpamanya bagi bank Malaysia bagi membolehkan pembangunan yang lebih pesat ke atas produk hijau, sosial dan mampan.

Dalam kenyataan hari ini, Maybank berkata, rangka kerja itu akan menyokong komitmen kumpulan untuk ‘Memobilisasikan RM50 bilion dalam Pembiayaan Mampan menjelang 2025,’ yang akan dilaksanakan merentasi produk Islam dan konvensional kumpulan bermula hari ini.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, bank itu telah melaksanakan peranan kepimpinan dengan memperkenalkan rangka kerja sedemikian dalam perniagaannya untuk membolehkan produk dan penyelesaian direka bentuk berdasarkan kesediaan dan keperluan asas segmen meluas pelanggannya, meliputi runcit, bukan runcit dan korporat besar.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemampanan Lembaga Pengarah Maybank, berkata banyak pelanggan bank itu mencatatkan tahap berbeza dari segi perjalanan kemampanan masing-masing.

“Kami ingin menyokong mereka melalui perjalanan jangka panjang ini. Sehubungan itu, kami bukan sahaja perlu menjelaskan apa yang ditakrifkan sebagai pembiayaan mampan, malah, perlu mengambil tahu cara bekerja dengan pelanggan untuk menawarkan penyelesaian mampan, penyelesaian berkaitan kemampanan atau penyelesaian peralihan secara berdedikasi berdasarkan keperluan mereka,” katanya.

Menurut Maybank, rangka kerja itu meliputi produk yang ditawarkan di bawah pinjaman korporat, hutang dan pasaran modal ekuiti, pembiayaan perdagangan, pembiayaan runcit, insurans, pengurusan aset dan kekayaan, derivatif dan deposit.

Matlamat utama rangka kerja tersebut adalah untuk membantu pasukan perniagaan Maybank mempunyai pandangan yang jelas bagi membangunkan produk hijau, sosial dan mampan dengan melihat kepada tujuan penggunaan hasil daripada produk atau penyelesaian yang ditawarkan.

Malah, turut diberi perhatian adalah sama ada ia memenuhi piawaian mampan kumpulan sepanjang hayat kitarannya, katanya.

SPF akan diterima pakai ke atas semua produk dan perkhidmatan kewangan yang menyepadukan kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus terhadap keputusan perniagaan atau pelaburan untuk menjana hasil pembangunan mampan atau menyumbang secara positif kepada pencapaian matlamat Perjanjian Paris dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Pelaksanaan SPF dilaksanakan selepas Maybank hampir mencapai sasaran pertengahan pembiayaan mampan sebanyak RM50 bilion menjelang 2025.

Bank itu telah memobilisasikan lebih RM13.6 bilion pembiayaan mampan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 dan RM10.3 bilion setakat separuh pertama berakhir 30 Jun 2022 yang melebihi sasaran tahun kewangan 2022 sebanyak RM9 bilion bagi pembiayaan mampan.

Lebih 80 peratus daripada pembiayaan mampan yang dimobilisasi pada separuh pertama 2022 adalah dari Malaysia dan Singapura, dengan sebahagian besar pembiayaan korporat disasarkan kepada sektor hartanah, infrastruktur dan tenaga boleh diperbaharui.

“Dengan kebolehan berterusan kami untuk memobilisasikan penyelesaian pembiayaan mampan sejak satu setengah tahun lepas, ditambah pula dengan pelancaran SPF, kami akan membuat penilaian selanjutnya terhadap keupayaan untuk menyediakan pembiayaan lebih mampan dalam masa terdekat,” kata Zamzamzairani. – Bernama

Sumber