Malaysia catat jumlah perdagangan RM222.1 bilion pada Jun 2023

Malaysia catat jumlah perdagangan RM222.1 bilion pada Jun 2023

MALAYSIA mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM222.1 bilion pada Jun 2023 dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM124.0 bilion dan RM98.2 bilion, kata Jabatan Perangkaan (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan pada Khamis berkata, eksport dan import masing-masing merosot 14.1 peratus dan 18.9 peratus pada Jun 2023 berbanding Jun 2022.

Katanya, penurunan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih rendah di kebanyakan negeri antaranya Johor turun sebanyak RM9.4 bilion, Sarawak berkurangan sebanyak RM4.6 bilion, diikuti Selangor berjumlah RM3.5 bilion.

Negeri lain termasuk Sabah (-RM1.1 bilion), Perak (-RM847.9 juta), Terengganu (-RM380.1 juta), Kelantan (-RM269.6 juta), Kuala Lumpur (-RM78.8 juta) dan Perlis (-RM13.7 juta).

“Bagaimanapun, nilai eksport meningkat di Pulau Pinang sebanyak RM6.4 bilion, Labuan menambah RM950.5 juta dan Kedah naik sebanyak RM882.6 juta. Negeri lain yang turut mencatat kenaikan eksport adalah Pahang (+RM336.8 juta), Melaka (+RM209.7 juta) dan Negeri Sembilan (+RM81.4 juta),” kata kenyataan itu.

Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 33.2 peratus daripada jumlah eksport negara, diikuti Johor (20.8 peratus), Selangor (17.3 peratus), Sarawak (6.3 peratus) dan Kuala Lumpur (4.4 peratus), katanya.

Sementara itu, Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan 25.8 peratus, diikuti Johor (21.2 peratus), Pulau Pinang (19.8 peratus), Melaka (7.2 peratus) dan Kuala Lumpur (7.1 peratus). – Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Bantuan khas RM300 kepada penjawat awam, RM200 pesara

Malaysia sasar di kedudukan 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2033

Kerajaan setuju tawar kredit e-tunai RM100 kepada rakyat

Kerajaan, GLIC labur RM1 bilion dana tambahan sokong syarikat pemula tempatan

Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat angkat dua tumpuan utama

Ekonomi Madani tetapkan tujuh penanda aras – PM

Sumber