Malaysia cadang elemen akses pasaran perlu diberi fokus

Malaysia cadang elemen akses pasaran perlu diberi fokus

[DIKEMAS KINI] MALAYSIA telah menyeru negara-negara anggota Rangka Kerja Ekonomi IndoPasifik (IPEF) khususnya Amerika Syarikat untuk memberi tumpuan kepada elemen akses pasaran iaitu pembinaan kapasiti dan bantuan teknikal sebagai sebahagian daripada inistiatifnya.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, IPEF merupakan satu instrumen diplomasi ekonomi yang bertujuan mengukuhkan kerjasama di antara negara anggota.

Bagaimanapun, beliau berkata, IPEF berbeza dengan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) lain seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) kerana ia mempunyai elemen akses pasaran yang jelas.

“Anggota IPEF terdiri daripada negara-negara yang berlatarbelakangkan pelbagai tahap pembangunan yang berbeza.

“Dengan adanya elemen pembinaan kapasiti and bantuan teknikal ini, kita dapat mengurangkan atau menutup ruang-ruang jurang pembangunan di antara negara berkenaaan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang ingin tahu perbezaan antara IPEF dan CPTPP serta bagaimana Malaysia dapat mengimbangkan diplomasi ekonomi dengan China yang bukan anggota IPEF.

Hon Wai dalam soalan asalnya ingin tahu mengenai kedudukan terkini penyertaan Malaysia ke IPEF.

IPEF buat masa ini dianggotai oleh 14 negara merangkumi Amerika Syarikat (AS), Australia, Brunei, Fiji, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.


Mohamed Azmin berkata, IPEF mampu meningkatkan daya tahan dan daya saing ekonomi, keterangkaian dan kemakmuran serantau serta membantu proses pemulihan ekonomi negara pasca-pandemik.

Menurutnya, cadangan kemasukan elemen akses pasaran tersebut telah dikemukakan semasa mesyuarat dua hari peringkat Menteri IPEF yang diadakan secara maya sejak Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi kesediaan Malaysia untuk menyertai kesemua empat teras di bawah rangka kerja IPEF iaitu perdagangan, rantaian bekalan, tenaga bersih, penyahkarbonan dan prasarana serta cukai dan anti rasuah.

Katanya, penglibatan Malaysia dalam Teras 1 adalah penting memandangkan negara tidak mempunyai platform kerjasama ekonomi dua hala dengan AS selain Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan (TIFA).

“IPEF dilihat sebagai satu platform yang sesuai untuk kedua-dua negara berbincang mengenai pelbagai perkara berkaitan perdagangan seperti berkongsi usaha menambah baik kedudukan Malaysia dalam Laporan Pemerdagangan Manusia.

“(Kita juga) dapat meningkatkan kerjasama yang erat dengan kerajaan AS bagi meningkatkan keupayaan negara dalam mematuhi peraturan-peraturan dan piawaian antarabangsa terkini dan seterusnya mengurangkan insiden Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) kepada syarikat Malaysia,” kata beliau.

Malaysia dan AS memulakan rundingan TIFA pada Mei 2004, namun rundingan tersebut tidak lagi aktif selepas AS di bawah Presiden, Barack Obama memulakan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber