Malaysia bakal jadi pengeluar ikan sardin halal di Asia

Malaysia bakal jadi pengeluar ikan sardin halal di Asia

PASIR PUTEH – Sebuah kilang memproses ikan sardin akan dibina di Tok Bali di sini dalam usaha merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di kawasan berkenaan pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, projek tersebut telah berada dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Kilang itu (memproses sardin) akan dibina bersebelahan kilang ais yang sudah siap dan dijangka boleh memulakan operasi pada bila-bila masa bermula sekarang,” katanya ketika turun padang meninjau permasalahan yang dialami oleh nelayan di Kampung Pachakan di sini pada Ahad.

Menurutnya, kewujudan kilang itu nanti membolehkan Malaysia menjadi pengeluaran ikan sardin halal di rantau Asia.

Beliau berkata, Tok Bali merupakan salah satu lokasi terbaik untuk mendaratkan tuna atau ikan sardin apabila kilang tersebut siap nanti.

Ahli Parlimen Pasir Puteh itu berkata, selain itu, ia juga menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat sekali gus melonjakkan lagi ekonomi setempat.

“Kerajaan amat memberikan galakan kepada pengusaha tempatan untuk menceburi aktiviti tangkapan ikan sardin atau tuna di negara ini.

“Hasil tinjauan yang saya lakukan semasa turun padang ke Pelabuhan Klang sebelum ini mendapati ikan sardin jenis Yellow Pink boleh mencecah sehingga AS$70 untuk sekilogram di negara Jepun,” katanya.

Nik Muhammad Zawawi berkata, beberapa projek lain sedang dalam proses untuk dibangunkan bagi merealisasikan hasrat menjadikan Tok Bali sebagai hub pelabuhan halal di rantau Asia.

Kementerian Kewangan sebelum ini meluluskan insentif cukai khas untuk memacu pelaburan di Kelantan, yang akan memberi manfaat kepada Tok Bali sebagai pusat pertumbuhan baharu di negeri ini dengan memberikan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus selama 15 tahun dan cukai pendapatan pada kadar istimewa 17 peratus bagi lima tahun berikutnya.

Sumber