Lima syarikat di Selangor berpotensi menjadi ‘Unicorn’

Lima syarikat di Selangor berpotensi menjadi ‘Unicorn’

PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dimaklumkan bahawa lima syarikat pemula di negeri ini dikenal pasti berpotensi menjadi ‘unicorn’ pada masa akan datang.

Exco Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian dan Industri Kecil dan Sederhana negeri Datuk Teng Chang Khim berkata, syarikat ‘soonicorn’ iaitu syarikat yang berpotensi untuk menjadi ‘unicorn’ dan bernilai AS$100 juta adalah Aerodyne, Dropee, Fave, TheLorry dan Naluri Hidup.

“Mencari lebih banyak syarikat berpotensi dalam hasrat untuk memupuk syarikat ‘unicorn’ di negeri ini adalah penting kerana ia akan menyumbang kepada inovasi, penciptaan pekerjaan dan seterusnya penciptaan kekayaan,” katanya ketika menjawab soalan Edry Faizal Eddy Yusof (PH-Dusun Tua) mengenai syarikat di Selangor yang berpotensi menjadi ‘unicorn’ pada masa akan datang.

Unicorn merujuk kepada syarikat pemula niaga yang mencatatkan nilai lebih AS$1 bilion.

Pada 2021, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan lima syarikat ‘unicorn’ di negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Chang Khim berkata, Carsome, platform e-dagang kereta bersepadu muncul sebagai syarikat ‘unicorn’ pertama di negara ini pada tahun lepas dengan nilai melebihi AS$1 bilion, yang telah bertapak dan beroperasi di Selangor sejak 2015.

Beliau berkata, usahawan tempatan perlu meluaskan pasaran mereka ke serantau untuk mencapai status ‘unicorn’ kerana populasi dan saiz pasaran Malaysia tidak seluas negara Asia Tenggara yang lain. -Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber